jump to navigation

Kuliyyah Muhammad Qutb Siri 6 October 16, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Muhammad Qutb.
add a comment

Bab: Islam dan Perhambaan (sambungan)

Langkah-langkah Islam dalam menangani masalah perhambaan:

1. Islam mewajibkan tuan empunya hamba memberi layanan yang baik kepada hamba mereka bagi tujuan memulihkan harga diri mereka. Dengan yang demikian, apabila hamba tersebut dibebaskan atau menebus diri, ia mampu menjadi seorang yang berjiwa merdeka.

2. Rasulullah s.a.w. bertindak mempersaudarakan para hamba yang dibebaskan dengan pemimpin-pemimpin kaum Arab melalui ikatan perkahwinan. Tindakan ini bagi melenyapkan persepsi bahawa bekas hamba tadi tidak setaraf dengan orang yang merdeka. Contohnya, sepupu Nabi, Zainab binti Jahsy dinikahkan dengan Zaid, bekas hamba baginda.

3. Baginda juga pernah melantik bekas hambanya bagi mengetuai angkata tentera yang di dalamnya terdiri dari kalangan pembesar-pembesar Arab.

Perhambaan Melalui Peperangan

Walaupun Islam telah menghapuskan pelbagai bentuk perhambaan, namun terdapat satu lagi bentuk perhambaan yang terpaksa diteruskan iaitu perhambaan melalui peperangan.

Adat memperhambakan seseorang apabila ditawan dalam suatu peperangan telah menunjang dalam masyarakat ketka itu, baik bangsa Arab, Parsi, Rom atau lain-lain. Apabila Islam telah bertapak di tanah Arab, tawanan-tawanan perang oleh Rom, Parsi dan lain-lain masih dijadikan hamba abdi. Mereka dilayan dengan layanan yang menyedihkan.

Wanita dijadikan alat memuaskan nafsu oleh sesiapa sahaja. Lelaki disiksa sekejam-kejamnya. Kanak-kanak membesar dalam suasana kehambaan yang amat hina. Sebelum kedatangan Islan, tiada undang-undang perang yang mengharamkan pencabulan kehormatan, pembunuhan wanita, kanak-kanak dan orang tua serta pemusnahan bandar.

Oleh kerana peprangan ketika itu bukan bertujuan untuk mempertahankan satu aqidah yang suci atau menegakkan satu matlamat yang luhur, maka layanan terhadap tawanan perang juga tidak diambil berat. Ini berbeza dengan Islam yang menitik beratkan unsur-unsur kemanusiaan sebagaimana dalam ayat 190 dan 256 surah al-Baqarah.

Apabila umat Islam dibenarkan berperang, ia membawa satu budaya baru iaitu:

1. Tentera Islam tidak dibenarkan membunuh wanita, kanak-kanak dan orang tua serta mereka yang tidak bersenjata.

2. Tentera Islam tidak dibenarkan memusnahkan Bandar, tumbuh-tumbuhan serta melakukan pencabulan bagi memuaskan hawa nafsu.

3. Tidak dibenarkan bertindak ganas dan mengaibkan musuh seperti memotong-motong anggota badan musuh yang telah tewas.

Akhlak dalam peperangan ini telah ditunjukkan dalam Perang Salib. Walaupun musuh-musuh Islam melakukan pencabulan kehormatan dan mencerobohi masjid bagi membunuh orang awam yang berlindung di dalamnya, tentera Islam tetap melayan musuh-musuhnya dengan baik setelah Islam memenangi perang tersebut. Tentera Islam tidak membalas kelakuan musuh walaupun boleh berbuat demikian.

Bahkan, Islam menggunakan tawanan perang sebagai jalan untuk memastikan orang-orang Islam yang ditawan musuh tidak diseksa dan diperlakukan dengan layanan yang buruk. Suatu tindakan yang dianggap darurat.

Sebagai teladan kepada manusia keseluruhannya, Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan agar tawanan tentera Islam diberi layanan yang baik. Wanita-wanita yang ditawan hanya boleh ditiduri oleh empunya tuannya. Mereka boleh dibebaskan diri atau dibebaskan selepas melahirkan anak tuan mereka.

Advertisements

Piawai di bulan Ramadhan September 18, 2008

Posted by abulutfi in Tinta Editor.
add a comment

Bulan Ramadhan adalah bulan tarbiyyah. Satu tempoh bagi bermuhasabah atau menilai diri tentang kedudukan dan pencapaian kita sepanjang tempoh Ramadhan yang lepas sehingga ke Ramadhan kali ini. Apabila dikatakan menilai, maka tentunya perlu kepada satu piawai atau ‘standard’ bagi menentukan tahap pencapaian kita. Piawai yang dimaksudkan bukanlah dari pandangan mata kita sebagai manusia, tetapi piawai dari pandangan Allah si Pencipta. Jika piawai ditetapkan oleh manusia, maka pangkat, jumlah harta yang telah dikumpulkan atau pengaruh di dalam masyarakay akan menjadi ukuran.

Piawai yang sahih adalah kedudukan kita di sisi Allah. Sejauh mana kita telah mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya? Berapa kerapkah kita bangun malam? Adakah kita semakin hampir dengan Allah atau semakin jauh?Apakah kita semakin dekat dengan misi kita? Firman Allah dalam surah Az-Zaariyat, “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menghambakan diri kepadaku.” Adakah kita telah menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya? Atau kita berlagak seperti tuan? Fikir-fikirkanlah.

Makna Kemerdekaan August 29, 2008

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

Kemerdekaan ialah membebaskan jiwa dan fikiran daripada jahiliyah.

~Abul ‘Ala Al-Maududi

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 5 July 28, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Buku: Islam & Dakwah

Bab: Sistem Sosial Dalam Islam

Asas Sistem Sosial Islam

Ibnu Khaldun di dalam buku al-Muqaddimah menyatakan hakikat bahawa kehidupan bermasyarakat adalah salah satu keperluan asas manusia. Oleh kerana kewujudan masyarakat adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, maka sistem kemasyarakatan juga menjadi satu keperluan. Sistem bermasyarakat adalah penting kerana tanpanya ketidakstabilan boleh berlaku akibat kebebasan yang tiada batasan.

Islam sebagai agama yang unggul dan syumul telah menyediakan sistem bagi menjamin keamanan di dalam masyarakat. Asas kepada sistem kemasyarakatan dalam Islam adalah aqidah Islam. Akidah memandu manusia dengan memberi kesedaran di mana kedudukannya di dunia ini, hubungan hidupnya dengan alam dan matlamat ia dijadikan Allah s.w.t.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, akidah inilah yang memimpin fikiran dan tingkah laku manusia. Dengan berpegang kepada aqidah Islam sebagai asas dalam sistem masyarakat bermakna manusia akan memikul tanggungjawab menjamin kestabilan masyarakat tanpa mengira bangsa, bahasa, keturunan mahupun pangkat. Berbeza daripada sistem kemasyarakatan Rom, Yunani, Parsi atau Atab yang meletakkan asas bangsa, puak atau keturunan sebagai asasnya. Asas selain aidah Islam mendorong berlakunya kezaliman, dan penindasan sesama manusia.

Asas sistem kemasyarakatan yang berlandaskan kebangsaan atau nasionalisma tidak sesuai kerana konsep tersebut amat sempit dan tidak mampu dimiliki oleh semua manusia. Allah s.w.t. telah menjadikan manusia ini berbangsa-bangsa, namun Islam sebagai agama mampu dianuti oleh sesiapa sahaja. Oleh kerana tiada paksaan beragama dalam Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al Baqarah ayat 256, orang bukan Islam juga mampu menjadi sebahagian daripada masyarakat ini dengan syarat mereka mengisytiharkan kesetiaan serta tunduk kepada sistem ini.

Melalui perjanjian kesetiaan ini, orang bukan Islam juga berhak menikmati kesejahteraan hidup dalam masyarakat ini di samping nyawa, harta dan maruahnya terpelihara. Ahli perundangan Islam mengiktiraf kaedah “hak mereka adalah seperti hak kita, tanggungjawab mereka adalah seperti tanggungjawab kita.” Sejarah telah membuktikan bahawa orang bukan Islam dapat hidup dengan aman di bawah sistem sosial Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. tanpa penindasan.

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 5 June 23, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah 1

Tajuk: Perjalanannya yang Pertama ke Negeri Syam dan Usaha Mencari Rezeki Halal

Sebagaimana yang diketahui selepas kemangkatan datuk Rasulullah s.a.w., bapa saudara baginda, Abu Talib menjaga baginda. Abu Talib adalah seorang saudagar. Sejak usia Nabi dua belas tahun, Abu Talib telah membawa Nabi bersama untuk membantunya berdagang.

Suatu hari Abu Talib membawa Nabi ke negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai ke Basra, mereka bertemu dengan seorang ahli kitab bernama Buhaira. Apabila Buhaira melihat tingkah laku Nabi yang sopan, beliau bertanya kepada Abu Talib, “Budak ini anak tuan hambakah?” Abu Talib lantas mengaku bapa kepada Nabi kerana beliau sudah menganggap Nabi seperti anaknya sendiri. Sebagai seorang paderi yang tahu kandungan kitab Injil, beliau tahu tanda-tanda seorang Nabi dan tanda itu ada pada diri Nabi.

Buhaira menafikan kenyataan Abu Talib, “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup.” Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa Nabi adalah anak saudaranya dan beliau menjadi penjaganya kerana ibu bapa Nabi telah meninggal dunia sejak baginda masih kecil. Mendengar penjelasan Abu Talib, Buhaira yakin bahawa budak yang berada di hadapannya itu adalah bakal Nabi akhir zaman. Buhaira menasihatkan Abu Talib agar segera menyelesaikan urusannya di situ dan membawa pulang Nabi ke Mekkah. Abu Talib akur dengan nasihat Buhaira kerana Buhaira terkenal sebagai seorang yang alim.

Pada usia remaja Nabi, baginda mula belajar berdikari dengan mengembala kambing bagi membantu meringankan beban bapa saudaranya. Sepanjang pengalaman Nabi mengembala kambing, Allah memelihara baginda daripada pengaruh yang tidak baik. Sebagai seorang remaja, baginda tidak terlepas dari keinginan untuk berhibur.

Suatu ketika, baginda meminta sahabat baginda menggantikan baginda menjaga kambing sementara baginda ke Kota Mekkah untuk melihat pesta keramaian. Namun dengan kuasa Allah, baginda telah terlelap dan tidak dapat melihat majlis tersebut. Hal ini berlaku dua kali.

Pemeliharaan Allah terhadap baginda daripada unsur-unsur hiburan seperti berpesta-pora sebenarnya adalah sebagai persediaan baginda untuk menjadi Nabi pada masa akan datang. Baginda memperolehi kekuatan jiwa kerana tidak terperangkap dalam budaya hedonisma sebagaimana pemuda-pemuda lain di zamannya. Kekuatan inilah yang menjadikan baginda seorang yang dipercayai di kalangan penduduk Mekkah.

Hikmah Allah menetapkan agar Rasulullah s.a.w. berdikari sejak usia remaja lagi agar baginda mempunyai sifat-sifat tabah, amanah dan sabar serta tidak terpengaruh dengan kehidupan duniawi.

Biodata Dr. Said Ramadan al-Buti June 10, 2008

Posted by abulutfi in Tokoh Islam.
8 comments

Said Ramadan dilahirkan pada 1929 di perkampungan JIlka, Turki. Appbila beliau berusia empat tahun, beliau telah berpindah ke Damascus, Syria . Pada tahun 1955, beliau bergraduasi dari Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang keagamaan. Beliau pernah menjadi Dekan di Universiti Damascus pada tahun 1960-an sebelum melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Al-Azhar dalam jurusan undang-undang Islam. Kini, beliau adalah pensyarah di Universiti Damascus dan bergiat aktif di dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa.

Sehingga kini, beliau telah menulis tidak kurang dari 40 buku dalam bidang kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan. Kecerdasan inteleknya terserlah di dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan ‘Royal Society of The Islamic Civilisation Researches’ yang berpusat di Amman, Jordan. Antara buku beliau yang terkenal adalah Fiqh Sirah yang menjadi rujukan di seluruh dunia.

Kata-kata Hikmah Dr. Abdullah Azzam May 30, 2008

Posted by abulutfi in Bimbingan.
2 comments

“Menghentikan jihad sejenak sahaja sama ertinya dengan menghentikan gerak laju deen Allah dalam kehidupan ini.”

Memperingati 100 tahun HAMKA May 7, 2008

Posted by abulutfi in Tinta Editor.
add a comment

Pada tahun 2008 ini genaplah 100 tahun kelahiran alllahyarham HAMKA, ulama Indonesia yang terkenal dengan kitab Tafsir Al-Azhar. Moga-moga Allah merahmati beliau di atas sumbangan beliau kepada dunia dakwah.

Kuliyyah Muhammad Qutb Siri 5 April 10, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Muhammad Qutb.
1 comment so far

Bab: Islam dan Perhambaan (sambungan)

Mungkin kita tertanya-tanya mengapa Islam tidak dengan tegas menghapuskan dasar-dasar perhambaan? Persoalan ini dijawab oleh Dr. Muhammad Qutb berdasarkan faktor-faktor berikut:

Pertama: Perhambaan telah menjadi satu sistem sosial dan ekonomi yang lumrah ketika Islam muncul di bumi Arab. Langkah penghapusan sistem tersebut perlu dilakukan secara beransur-ansur. Ia tidak wajar dilakukan dalam sekelip mata malah memerlukan tempoh yang lama. Penghapusan amalan perhambaan hampir sama dengan kaedah penghapusan arak, cuma amalan perhambaan lebih lama bertunjang dalam hidup masyarakat ketika itu.

Kedua: Islam hanya menggariskan peraturan-peraturan berkaitan masalah dasar. Bagi masalah-masalah yang tidak dasar dan sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa, Islam menetapkan garis umum agar manusia dapat mengadaptasi mengikut kesesuaian ketetapan tersebut. Samalah juga dengan masalah perhambaan. Islam meletakkan garis umum agar lambat-laun manusia akan menghapuskan sistem tersebut secara sukarela.

Ketiga: Agama Islam diturunkan bukan untuk mengubah tabiat manusia yang telah sekian lama bertunjang dalam diri. Sebaliknya ia diturunkan untuk mendidik manusia dalam batas-batas fitrah manusia. Justeru, agama ini mampu memajukan manusia tanpa sebarang paksaan yang boleh mengundang pemberontakan jiwa.

Sejarah Amerika Syarikat dalam usaha pembebasan hamba abdi memperlihatkan akta yang membebaskan hamba abdi di sana tidak mampu untuk hidup sebagai seorang yang merdeka. Pengisytiharan pembebasan oleh Presiden Abraham Lincoln tidak menyelesaikan masalah kerana hamba-hamba yang telah dibebaskan kembali kepada tuan mereka. Ini kerana walaupun jasad mereka bebas tetapi jiwa mereka masih jiwa hamba.

Janji Tuhan Pasti Berlaku April 8, 2008

Posted by abulutfi in Tinta Editor.
add a comment

Lagu ni memberi saya semangat untuk terus mengharap janji Tuhan…

(Lirik dan lagu dari kumpulan Shoutul AMal).

Oh alangkah indah hidup ini

Bila Islam bersinar kembali

Cahaya iman menyuluh tiap sanubari

Kebenaran mewarnai bumi

Kalam Allah memimpin manusia

Sunnah Rasul memandu langkahnya

Isi alam mendapat rahmat dan berkatnya

Kebatilan tiada tempatnya

Telah lama dinantikan

Bara Islam marak semula

Manusia kegelapan

Merindukan cahaya pembela

Pasti datang saat itu

Janji Tuhan pasti berlaku

Di dunia bahagia

Syurga Tuhan kekal selamanya

Pada Tuhan

Doa dan harapan

Daulah Islam seluruh dunia

Selamatkan kami umat di akhir zaman

Dengan iman yang terpelihara