jump to navigation

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 8 June 25, 2010

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah 1

Bab: Berkhulwah di Gua Hira’

Menjelang usia Nabi s.a.w. 40 tahun, beliau amat gemar berkhulwah atau bersendiri untuk mencari ketenangan jiwa di Gua Hira’. Pada kebiasaannya baginda akan berkhulwah selama beberapa hari , malah kadangkala sehingga lebih satu bulan. Amalan Nabi ini berterusan sehinggalah baginda dikurniakan wahyu yang pertama dari Allah s.w.t.

Jalan yang diambil oleh Nabi s.a.w. ini ternyata merupakan kaedah terbaik bagi seseorang untuk menyucikan jiwa dan menjauhkan diri dari kemaksiatan. Selain itu, mengasingkan diri dari kerosakan akhlak masyarakat dan kesibukan kerja dapat memberi peluang kepada diri memuhasabah (hisab diri). Ia juga mamnpu mendekatkan diri kita kepada pencipta.

Menurut Dr. Said Ramadan al-Buti, tidak ada jalan yang lebih baik untuk mencintai Allah s.w.t. melainkan dengan merenung keagungan-Nya dan bertafakur dengan segala nikmat yang dikurniakan-Nya serta memperbanyakkan mengingati-Nya (zikir).

Imam Al-Sathibi di dalam kitab Al-Mumabikhat menulis: “Ketakutan adalah cemeti kepada gembala, harapan adalah parasakti kepada penganjur, kasih sayang adalah arus kepada pelayar. Si penakut ketika melakukan pekerjaan yang berat dan susah, tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan, seterusnya membawa ia bersabar terhadap sebarang dugaan. Manusia yang berharap tidak akan menghiraukan susah-payah. Harapannya itu membawa ia meneroka segala kepahitan dan menanggung segala kepayahan. Si pencinta pula melipat gandakan usaha dan tenaganya serta mengorbankan segala apa yang terdapat demi untuk sampai kepada orang yang dicintainya.”

Advertisements

Kuliyyah Ramadhan Al-Buti Siri 7 May 3, 2009

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah 1

Bab: Penyertaan Rasulullah s.a.w. dalam Usaha Membina Semula Ka’bah.

kaabahSebagaimana yang kita tahu, bangunan Ka’bah telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya, Nabi Ismail a.s.  Namun, dalam peredaran masa, bangunan tersebut telah mula usang, terutamanya selepas peristiwa banjir besar yang pernah melanda Mekkah.

Sebagai satu simbol kemuliaan, kaum Quraisy berusaha membaik pulih Ka’bah. Sampailah ke satu peringkat di mana kaum-kaum Arab mahu meletakkan kembali Hajarul Aswad di tempatnya di sisi Ka’bah, pertikaian berlaku untuk menentukan siapa yang selayaknya meletakkan batu berharga tersebut.

Pertikaian tersebut tidak berjaya dirungkai oleh puak-puak Arab yang bertelagah sehinggalah Rasulullah s.a.w. memberi pandangan baginda. Puak-puak Arab bersetuju dengan cadangan baginda kerana mereka mempercayai baginda sebagai seorang yang paling jujur dan amanah.

hajaratulaswad

Keupayaan baginda mendamaikan pertelagahan antara puak-puak Arab dalam isu perletakan batu Hajarul Aswad membuktikan tanda KeRasulan baginda. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa Muhammad s.a.w. sememangnya dipandang mulia di sisi masyarakat Arab.

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 6 December 19, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah

Tajuk: Perniagaan Dengan Harta Khadijah dan Perkahwinan Baginda

Saidatina Khadijah adalah seorang hartawan dan saudagar.  Sebelum Nabi SAW diangkat menjadi Rasul, nama Khadijah telah pun terkenal sebagai seorang saudagar yang mulia budi pekerti. Beliau banyak memberi pinjaman modal kepada saudagar-saudagar Arab yang berniaga ketika itu. Kemuliaan akhlak Nabi SAW telah sampai ke telinga Khadijah dan beliau telah mempelawa baginda menjalankan perniagaan dengan hartanya.

Khadijah menghantar pembantu beliau, Maisarah untuk membantu baginda dalam urusan berniaga. Nabi SAW menerima tawaran Khadijah dan berangkat ke negeri Syam bersama Maisarah untuk berniaga. Nabi telah berniaga dengan penuh kejujuran dan hasilnya adalah keuntungan yang berlipat kali ganda.  Semua ini telah dilaporkan kembali kepada Khadijah oleh pembantu beliau, Maisarah. Apabila selesai berniaga, Nabi SAW telah bertemu kembali dengan Khadijah dan menyerahkan semua keuntungan yang sepatutnya dipulangkan kepada Khadijah sebagai pemodal.

Sifat amanah dan akhlak baginda telah menarik perhatian Khadijah. Beliau lantas telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Nabi SAW  sebagai suaminya melalui perantara Nafisah binti Manbah. Nabi SAW telah menyambut baik hasrat Khadijah lalu meminta bapa saudara baginda, ‘Amru bin Asad untuk melamar Khadijah. Penerimaan Nabi SAW terhadap hasrat Khadijah bukan kerana harta beliau, tetapi ketinggian budi Khadijah. Bahkan, ketika itu Khadijah adalah seorang janda dan lebih berumur berbanding Nabi SAW.

Perkahwinan baginda bersama Khadijah kekal sehingga akhir hayat Khadijah. Mereka hidup dalam suasana serba sederhana dan bahagia.

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 5 June 23, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah 1

Tajuk: Perjalanannya yang Pertama ke Negeri Syam dan Usaha Mencari Rezeki Halal

Sebagaimana yang diketahui selepas kemangkatan datuk Rasulullah s.a.w., bapa saudara baginda, Abu Talib menjaga baginda. Abu Talib adalah seorang saudagar. Sejak usia Nabi dua belas tahun, Abu Talib telah membawa Nabi bersama untuk membantunya berdagang.

Suatu hari Abu Talib membawa Nabi ke negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai ke Basra, mereka bertemu dengan seorang ahli kitab bernama Buhaira. Apabila Buhaira melihat tingkah laku Nabi yang sopan, beliau bertanya kepada Abu Talib, “Budak ini anak tuan hambakah?” Abu Talib lantas mengaku bapa kepada Nabi kerana beliau sudah menganggap Nabi seperti anaknya sendiri. Sebagai seorang paderi yang tahu kandungan kitab Injil, beliau tahu tanda-tanda seorang Nabi dan tanda itu ada pada diri Nabi.

Buhaira menafikan kenyataan Abu Talib, “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup.” Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa Nabi adalah anak saudaranya dan beliau menjadi penjaganya kerana ibu bapa Nabi telah meninggal dunia sejak baginda masih kecil. Mendengar penjelasan Abu Talib, Buhaira yakin bahawa budak yang berada di hadapannya itu adalah bakal Nabi akhir zaman. Buhaira menasihatkan Abu Talib agar segera menyelesaikan urusannya di situ dan membawa pulang Nabi ke Mekkah. Abu Talib akur dengan nasihat Buhaira kerana Buhaira terkenal sebagai seorang yang alim.

Pada usia remaja Nabi, baginda mula belajar berdikari dengan mengembala kambing bagi membantu meringankan beban bapa saudaranya. Sepanjang pengalaman Nabi mengembala kambing, Allah memelihara baginda daripada pengaruh yang tidak baik. Sebagai seorang remaja, baginda tidak terlepas dari keinginan untuk berhibur.

Suatu ketika, baginda meminta sahabat baginda menggantikan baginda menjaga kambing sementara baginda ke Kota Mekkah untuk melihat pesta keramaian. Namun dengan kuasa Allah, baginda telah terlelap dan tidak dapat melihat majlis tersebut. Hal ini berlaku dua kali.

Pemeliharaan Allah terhadap baginda daripada unsur-unsur hiburan seperti berpesta-pora sebenarnya adalah sebagai persediaan baginda untuk menjadi Nabi pada masa akan datang. Baginda memperolehi kekuatan jiwa kerana tidak terperangkap dalam budaya hedonisma sebagaimana pemuda-pemuda lain di zamannya. Kekuatan inilah yang menjadikan baginda seorang yang dipercayai di kalangan penduduk Mekkah.

Hikmah Allah menetapkan agar Rasulullah s.a.w. berdikari sejak usia remaja lagi agar baginda mempunyai sifat-sifat tabah, amanah dan sabar serta tidak terpengaruh dengan kehidupan duniawi.

Kuliyyah Ramadhan Al-Buti Siri 4 April 3, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah 1

Tajuk: Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.

quran.jpg

Nabi Muhammad S.A.W. lahir pada 12 Rabiul Awal pada Tahun Gajah. Pada Tahun Gajah tersebut telah berlaku satu peristiwa yang tercatat dalam Al-Quran iaitu bala tentera Abrahah Al Asyram yang cuba memusnahkan Ka’bah di Kota Makkah. Namun, percubaan Abrahah menemui kegagalan apabila Allah mengutus burung-burung Ababil untuk memusnahkan tentera bergajah Abrahah.

 

Allah telah mentakdirkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan sebagai anak yatim. Ayah baginda telah kembali ke rahmatuLlah ketika baginda masih di dalam kandungan ibunya. Halimah binti Abi Zuwaib, seorang perempuan dari Bani Sa’d Bakr telah menjadi ibu susuan Nabi.

 

Menurut ahli sirah, sebelum ketibaan Nabi ke perkampungan Bani Sa’d, kampung tersebut sedang mengalami kemarau yang dahsyat. Namun, sebaik sahaja Nabi sampai ke rumah Halimah di kampung tersebut, kemarau yang selama ini membuatkan tanaman kering kontang berubah wajah. Pohon-pohon kembali menghijau dan uncang-uncang haiwan ternakan telah penuh dengan susu.

 

Ketika baginda bersama Bani Sa’d inilah perutnya telah dibedah oleh malaikat Jibril. Ibu baginda pula telah wafat ketika baginda berusia enam tahun. Oleh itu, datuk baginda iaitu Abdul Mutallib telah memelihara baginda. Hayat Abdul Mutallib tidak lama apabila tidak berapa lama selepas itu beliau pula meninggal dunia. Bapa saudara Nabi, Abu Talib mengambil alih peranan Abdul Mutallib sebagai penjaga Nabi.

 

Keadaan hidup Nabi yang yatim piatu adalah satu hikmah yang tidak kelihatan sehinggalah baginda dilantik menjadi Rasul. Ia disusun sedemikian rupa agar tiada sesiapa boleh menaruh sangkaan buruk terhadap dakwah Nabi. Jika ibu bapa dan datuk baginda masih hidup dan membesarkan Nabi sendiri, tentulah masyarakat Jahiliyyah akan menuduh dakwah baginda telah dipengaruhi oleh keluarga baginda yang mempunyai kedudukan tinggi di Makkah.

 

Bapa saudara baginda, Abu Talib pula tidak pernah memeluk Islam sehinggalah beliau meninggal dunia. Susur-galur kehidupan baginda yang agak terasing dari keluarga Abdul Mutallib juga tidak memungkinkan baginda terpengaruh dengan sifat cintakan harta dan pangkat.

 

Selain itu, tanda-tanda kerasulan Muhammad S.A.W. ternyata apabila baginda berada di perkampungan Al Sa’diyyah. Suasana kemarau bertukar menjadi ladang-ladang yang hijau. Ini selari dengan firman Allah yang bermaksud “Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk alam sejagat” (Al-Anbiya’:21)

 

Perut Nabi yang dibedah oleh malaikat Jibril juga merupakan tanda-tanda kerasulan baginda yang nyata. Mengapa Allah mempertontonkan peristiwa ini kepada kanak-kanak lain yang sedang bermain-main dengan baginda ketika itu? Ini adalah pengisytiharan secara terang-terangan oleh Allah berkenaan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan sebagai persediaan baginda untuk menerima wahyu kelak.

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 3 September 18, 2007

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku : Fiqh As-Sirah 1

Tajuk : Saki Baki Agama Hanif dalam Jahiliyyah Arab (sambungan)

Berlatar belakangkan fakta bahawa sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. masih terdapat saki-baki ajaran Nabi Ibrahim a.s., maka sesetengah orang mengatakan ada kemungkinan telah timbul satu kesedaran untuk memberontak dari cara hidup jahiliyyah mereka yang menyebabkan Islam mudah diterima oleh masyarakat Arab ketika itu. Sheikh Ramadan Al-Buti menidakkan andaian bahawa seruan Nabi s.a.w. diterima kerana masyarakat telah mula muak dengan kehidupan yang penuh dengan kesyirikan dan ingin kembali kepada satu cara hidup yang lebih murni. Hujah beliau adalah kerana pada zaman Nabi diutus kepada masyarakat di Semenanjung Arab adalah zaman di mana manusia paling jauh daripada petunjuk seorang Nabi dan hidayah Allah.

Andaian para orientalis barat tersebut tidak lain hanyalah untuk menidakkan Kenabian Muhammad s.a.w. Mereka hanya mahu mencari alasan dan dalil agar dakwah Nabi Muhammads.a.w. dilihat sebagai satu kebetulan yang tiba pada masa dan tempat yang sesuai dengan keadaan masyarakat ketika itu. Hakikatnya Islam diterima dengan mudah kerana kandungan agama itu dan mukjizah Nabi s.a.w. selaku Rasul utusan Allah s.w.t.

Antara mereka yang cuba menidakkan Kerasulan Muhammad s.a.w. adalah Gibb. Gibb di dalam bukunya yang diterjemah ke dalam bahasa Arab, ‘Bunyatul Fikrid-Dini’, mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah memerhati dan mengkaji budaya masyarakat Arab. Dengan demikian baginda cuba memasukkan unsur agama ke dalam upacara-upacara jahiliyyah yang sedia diamalkan oleh masyarakat Arab.

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 2 December 4, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku:Fiqh As-Sirah 1

Bab: Saki Baki Agama Hanif dalam JahiliyahArab

Orang Arab mewarisi agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Agama yang membawa ajaran tauhid dan perintah-perintah ibadah, memelihara dan mempertahankan Baitul-Haram serta menghormati segala syiarnya. Namun, setelah kurun demi kurun berlalu, masyarakat Arab mula mencampur-adukkan yang benar dengan yang batil. Ajaran agama ditokok-tambah dengan syirik dan kejahilan. Keruntuhan akhlak sudah menjadi kebiasaan. Akhirnya, oleh kerana lamanya jangka masa sejak agama Hanif ini diturunkan kepada orang Arab, mereka semakin jauh dari cahaya iman dan menebal dengan penyembahan berhala-berhala. Di waktu inilah masyarakat Arab berhadapan dengan seruan Nabi Muhammad saw.

Diketahui daripada hadith bahawa ‘Amru Bin Luhay Bin Qam’ah adalah orang yang mula-mula mensyirikkan Allah. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Saya lihat ‘Amru Bin Luhay Bin Qam’ah Bin Khandaf menarik berhala kayunya ke dalam neraka…. sesungguhnya dialah orang yang mula mengubah agama Ismail dengan memasang berhala, mencipta Bahira, Saibah, Wasilah dan Hami.”

D aripada penyelewengan ini, berkembanglah penyembahan berhala di kalangan bangsa Arab. Aqidah tauhid yang diwarisi dari Nabi Ibrahim as dan Ismail as telah bertukar rupa hingga ke peringkat kesesatan yang hebat. Punca utama berlakunya penyelewengan agama tauhid ini adalah kerana mereka buta huruf dan jahil.

Namun, saki-baki syiar agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan anaknya masih kekal walaupun dijelmakan dalam bentuk yang jahat. Misalnya amalan tawaf mengelilingi Ka’abah, menunaikan haji dan umrah serta wukuf di padang ‘Arafah masih dikekalkan tetapi bacaan-bacaan semasa melakukan amalan tersebut ditokok tambah dengan mempersekutukan Allah.

Kuliyyah Dr.Said Ramadan Al-Buti Siri 1 October 3, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Tajuk: Fiqh Al-Sirah

Bab: Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab Sebagai Tapak Pancaran Islam

Sebelum mencungkil lebih jauh rahsia pemilihan semenanjung Arab, Al-Buti memfokus bab ini kepada bangsa atau tamadun yang wujud di sekitar tanah Arab ketika itu. Empayar Rom dan Parsi adalah dua kuasa besar ketika itu. Manakala Tamadun Greek dan India tidak kurang hebatnya.

Parsi adalah sebuah negara yang menjadi medan pertembungan pelbagai ideologi dan falsafah. Negara yang terdiri daripada penganut agama Majusi ini menggalakkan perkahwinan antara lelaki dengan ibunya, anak perempuannya atau adik-beradik perempuannya. Selain itu, wanita juga dijadikan sebagai hak milik bersama.

Negara Rom pula, walaupun mempunyai angkatan tentera yang hebat dan berjaya menjajah banyak negara jirannya, berada dalam keadaan kucar-kacir. Pembesarnya hidup dalam kemewahan sementara rakyatnya diperas dengan cukai yang sangat tinggi. Ini mengakibatkan keadaan ekonomi Rom merosot.

Negara Greek dan India ketika itu juga telah tenggelam di dalam kepercayaan khurafat serta kemerosotan akhlak yang dahsyat. Segala kekalutan yang menimpa kuasa-kuasa besar tersebut tidak lain kerana kemajuan tamadun yang berasaskan materialisma semata-mata dan mengenepikan peranan akhlak.

Walaupun semenanjung Arab dikelilingi oleh kuasa-kuasa besar yang huru-hara, ia kekal sebagai satu kawasan yang terpencil dari kemewahan dan kemajuan. Kawasan semenanjung Arab boleh disifatkan sebagai ‘bahan mentah’ yang belum pernah dicorak oleh mana-mana acuan. Mereka hidup dalam kejahilan.

Orang Arab ketika itu jahil dan mengamalkan adat yang jelas menunjukkan kejahilan mereka. Contohnya, demi menjaga maruah mereka sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup dan berperang sesama sendiri. Mereka hanya memerlukan suntikan pengetahuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar.

Al-Buti berpendapat, memberi petunjuk kepada orang yang sedang mencari-cari kebenaran lebih mudah kerana mereka tidak berbangga-bangga dengan falsafah dan tamadun yang mereka miliki. Malah mereka tidak pernah mempunyai tamadun!

Keadaan yang telah dijelaskan menghindar syak wasangka manusia terhadap Nabi Muhammad SAW bahawa dakwah yang disampaikan oleh baginda diambil dari tamadun dan kitab-kitab lama. Mana mungkin sedangkan semenanjung Arab ketika itu tiada tamadun dan penduduknya jahil, tidak tahu membaca dan menulis.

Apabila Islam muncul di tengah-tengah kejahilan manusia tersebut, jelas kelihatan mukjizat Nabi dan kehebatan agama Islam yang dibawa baginda. Selain itu, hikmah yang lain adalah kerana di lembah inilah juga terbitnya seruan Islam kali pertama oleh Nabi Ibrahim AS. Maka, amatlah sesuai apabila Nabi yang terakhir juga diutus ke kawasan yang sama.

Kedudukan strategik negara Arab juga memudahkan penyebaran agama Islam. Ini terbukti di zaman Khulafa ar-Rashidin. Akhir sekali, hikmah diturunkan Islam di semenanjung Arab adalah kerana bahasa perantara iaitu bahasa Arab sangat istimewa dan seni berbanding bahasa-bahasa lain.