jump to navigation

Pensucian Jiwa Semasa Berwuduk March 8, 2010

Posted by abulutfi in Ibadah.
1 comment so far

Lazimnya semasa kita berwuduk, anggota zahir dipastikan bersih daripada kekotoran dan memenuhi syarat-syarat berwuduk. Namun, Imam al-Ghazali menyatakan bahawa apabila kita berwuduk, bukan sahaja anggota zahir yang dibersihkan, malah jiwa juga berupaya dibersihkan.

Justeru, amalan berikut elok dilakukan agar kita membersihkan anggota secara zahir dan batin semasa berwuduk. Pertama, semasa membersihkan kedua belah tangan, doa berikut dibaca: “Ya Allah, aku memohon padamu kebahagian dan keberkatan , aku berlindung dengan Engkau daripada kecelakaan dan kebinasaan.”

Ketika berkumur, doa berikut pula dibaca: “Ya Allah, tolonglah aku untuk membaca kitab-Mu dan memperbanyakkan zikir kepada-Mu.”

Apabila memasukkan air ke rongga hidung, baca: “Ya Allah, temukanlah untukku bau-bauan syurga-Mu dan aku berlindung dengan Engkau dari bahaya neraka.”

Semasa meratakan air ke seluruh kawasan wuduk muka, doa berikut pula dibaca dengan penuh pengharapan: “Ya Allah, putihkanlah mukaku dengan Nur Engkau dan janganlah Engkau hitamkan mukaku dengan kegelapan.”

Tatkala membasuh tangan sebelah kanan sehingga ke siku, baca: Ya Allah, berikanlah buku catatan amalku pada tangan kananku dan hitungkanlah amalanku dengan hisab yang mudah.” Sebaik-baiknya sampaikan air hingga ke pangkal lengan.

Selepas itu, disusuli dengan tangan kiri lalu membaca doa: “Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada buku catatan amalku diberikan pada tangan kiriku atau dari belakangku.”

Ketika membasuh kepala, doa berikut dibaca: “Ya Allah, dengan rahmat Engkau, turunkanlah kepadaku keberkatan-Mu, naungkanlah aku di bawah naungan Arasy-Mu. Ya Allah, lindungilah rambut dan kulitku dari api neraka.”

Semasa membersihkan telinga, doakan agar: “Ya Allah, jadikanlah aku sebahagian dari mereka yang mendengar perkataan yang baik dan perdengarkanlah kepadaku seruan penyeru syurga bersama-sama orang yang baik.”

Kemudian Imam Al-Ghazali menyarankan agar kita menyapu leher dengan air berpandukan sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, “Menyapu leher adalah menyelamatkan dari belenggu (rantai) api neraka pada hari kiamat.” Doa semasa membasuh leher adalah: “Ya Allah, lepaskanlah leherku dari api neraka dan aku berlindung dengan Engkau daripada rantai dan belenggu api neraka.”

Akhir sekali ketika membasuh kedua-dua kaki, doakan agar: “Ya Allah, tetapkanlah kakiku di atas titian shirath dan aku berlindung dengan Engkau daripada tergelincirnya kakiku dari titian shirath.”

Kelebihan Solat-solat Sunat Siri 1 January 8, 2010

Posted by abulutfi in Ibadah.
add a comment

Solat sunat terbahagi kepada 3:

1. Yang tertakluk dengan waktu

2. Yang tertakluk dengan sebab

3. Tidak tertakluk dengan sesuatu (solat sunat mutlak)

Bahagian 1: Solat sunat yang tertakluk kepada waktu

Bahagian ini terbahagi pula kepada 3:

1. Solat yang berulang kerana berulangnya hari dan malam (Harian)

2. Solat yang berulang kerana berulangnya Jumaat (Mingguan)

3. Solat yang berulang kerana berulang tahun (Tahunan)

Walaubagaimanapun kami hanya akan membicarakan tentang solat sunat Mingguan memandangkan solat sunat harian (rawatib) dan tahunan (hari raya, tarawih dan sebagainya) telah biasa dikemukakan dalam media-media massa.

Terdapat 7 jenis solat sunat mingguan. Huraiannya adalah seperti berikut mengikut kitab Sairus Salikin (juzuk pertama, bab ketiga):

Pertama: Solat sunat hari Ahad

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Dan tauhidkan oleh kamu akan Allah Taala dengan membanyakkan solat pada hari Ahad maka kerana bahawasanya Allah Taala itu Esa tiada bagiNya yang menyekutui akan Dia. Maka barangsiapa solat pada hari Ahad kemudian daripada Zohor empat rakaat yang kemudian daripada fardhunya dan sunatnya pada hal membaca ia pada rakaat pertama akan surah al-Fatihah sekali dan surah as-Sajadah sekali dan pada rakaat yang kedua surah al-Fatihah sekali dan surah Tabarak (al-Mulk) sekali kemudian maka tasyadud ia dan salam ia kemudian maka berdiri ia maka solat ia dua rakaat yang lain pada hal ia membaca di dalamnya itu surah al-Fatihah dan surah al-Jumaah dan surah al-Munafiqun dan meminta ia akan Allah Taala akan hajatnya, nescaya adalah ia hak atas Allah Taala bahawa menunaikan ia akan hajat itu.”


Bersambung dengan solat Sunat hari Isnin.