jump to navigation

Ramadhan dan Transformasi Diri September 14, 2009

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

Kita telah masuk ke fasa ke-3 bulan Ramadhan. Pada fasa ini kita tidak lagi sibuk mengadaptasi perut dengan keadaan berpuasa di siang hari dan beribadah di malam hari. Pada fasa ini juga adalah kemuncak transformasi diri. Oleh kerana Allah swt menyembunyikan satu malam yang lebih baik dari 1000 malam pada fasa ke-3 ini, maka umat Islam sepatutnya menjadikan ia titik perubahan dalam diri untuk mengejar keredhaan Allah swt.tasbih

Namun, tidak semua orang yang terpilih untuk mendapat kelebihan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Masjid semakin surut dengan jemaah, malam semakin sibuk dengan persediaan menyambut kedatangan Syawal. Hanya segelintir yang menangisi pemergian bulan Tarbiyyah ini.

Demi merealisasikan transformasi diri ini, ada 2 syarat yang perlu dipenuhi. Pertama, ilmu. Kedua, kesungguhan bermujahadah (melawan nafsu). Tanpa kedua-dua faktor ini, amat sukar untuk seseorang merasai rahmat tuhan yang melimpah ruah di bulan yang mulia ini.

Bagaimana saya katakan bulan Ramadhan ini adalah bulan transformasi diri? Sebagaimana kita tahu, pada bulan ini, syaitan dirantai dan yang tinggal untuk mempengaruhi kita adalah nafsu dalam diri. Maka inilah masa terbaik kita menilai di tahap mana nafsu kita berada, ammarah, lawwamah atau mutmainnah, tanpa faktor ketiga iaitu syaitan.

Apabila kita telah ketahui, hendaklah kita insafi dan muhasabah diri. Timbulkan keinginan untuk kembali kepada sifat hamba yang menjadi fitrah kita. Kemudian, bermujahadah melawan nafsu sehingga mencapai tingkat nafsu mutmainnah yang tenang lagi menenangkan. Allah swt menunggu kita di akhir Ramadhan… di hari kemenangan.

end of tunnel

Tidak Sama Orang yang Berilmu… August 23, 2009

Posted by abulutfi in Bimbingan.
2 comments

“Tidak sama orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu.” Itu adalah kata-kata yang sering diulangi oleh tok guru saya, Ustaz Badrul Munir. Kebenaran kata-kata beliau benar-benar saya terasa sempena bulan Ramadhan tahun ini.

Sepanjang kuliah dari bulan Januari hingga Ogos tahun ini, saya telah didedahkan dengan pelbagai rahsia solat, dari falsafah pergerakan dalam solat, makna hinggalah kepada hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap gerakan solat. Maka, Ramadhan saya pada tahun ini tentulah lebih bermakna berbanding tahun lalu. Alhamdulillah.

pergerakansolat

Maka, saya sarankan kepada mereka yang mahu kepada kemanisan beramal, perdalamkanlah ilmu tentang ibadah yang ingin dilakukan. Pesan Imam Al-Ghazali, “Ilmu tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia.”

Kelebihan Fikir July 15, 2009

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

berfikir

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, berfikir satu saat lebih afdal (utama) daripada beribadat selama setahun. Kejadian alam yang digambarkan dalam al-Quran juga menuntut kita berfikir bagi mendapatkan hikmah yang tersembunyi, selanjutnya mendekatkan manusia kepada tuhannya.

Pengajaran bukan sahaja dapat dilihat dengan mata apabila melihat keajaiban alam, malah kita juga perlu memerhatikannya pada diri sendiri. Firman Allah s.w.t., “Dan pada diri kamu, maka tiadakah kamu lihat?” Bukan sahaja manusia diciptakan sebagai sesempurna makhluk, tetapi proses kejadiannya juga merupakan satu yang sempurna bagi mereka yang berfikir.bayi

Allah s.w.t. telah mengurniakan manusia dengan aqal untuk berfikir. Ia adalah aset yang sangat berharga yang membezakan kita daripada haiwan dan tumbuhan. Sesungguhnya darjat seorang manusia ditentukan dengan setinggi mana ilmu yang dimilikinya hasil amalan berfikir. Ada manusia yang berilmu tetapi ia tidak faham. Mengapa? Kerana ia tidak berfikir.

Sebagai contoh, kita tahu riba itu haram dan akibat daripada mengambilnya. Kita ada ilmu. Tapi kenapa masih ada orang yang mengamalkan riba? Kita boleh katakan mereka tidak berfikir kerana jika mereka memikirkan apa yang tersirat di sebalik larangan Allah s.w.t., mereka tidak mungkin melanggarnya.

Imam Al-Ghazali ada menyatakan: Ilmu tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia. Fikir-fikirkan.

Makna Kemerdekaan August 29, 2008

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

Kemerdekaan ialah membebaskan jiwa dan fikiran daripada jahiliyah.

~Abul ‘Ala Al-Maududi

Kata-kata Hikmah Dr. Abdullah Azzam May 30, 2008

Posted by abulutfi in Bimbingan.
2 comments

“Menghentikan jihad sejenak sahaja sama ertinya dengan menghentikan gerak laju deen Allah dalam kehidupan ini.”

Islam Mengangkat Martabat Wanita January 21, 2008

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

Seringkali muncul di dada-dada akhbar perihal isu hak wanita yang ditindas. Ada golongan tertentu yang mendakwa ada ayat-ayat al-Qur’an yang mendiskriminasi kaum wanita sehinggakan ada yang menganggap Rasulullah S.A.W. sebagai kuat nafsu! Adakah benar Islam meletakkan taraf wanita lebih rendah berbanding lelaki?

Sebelum kita terus membuat andaian atau menjawab persoalan ini, mari kita perhatikan apa isu-isu yang menyebabkan ada orang menganggap wanita ditindas dalam Islam. Pertama, isteri wajib taat kepada suami tetapi suami tidak perlu kepada isteri. Kedua, wanita mendapat kurang harta pusaka berbanding lelaki. Ketiga, kuasa talak terletak di tangan lelaki. Tidak pernah kita dengar seorang wanita menceraikan suaminya! Terdapat banyak lagi pertikaian namun cukup dengan mengambil 3 contoh ini sebagai perbandingan.

Apabila kita melihat contoh-contoh di atas, akal yang mudah melatah akan membenarkan kenyataan bahawa taraf wanita lebih rendah berbanding lelaki. Namun, penulis bersetuju dengan kata-kata Dato’ Dr Fadzilah Kamsah bahawa walaupun lelaki dan wanita berbeza, tapi kedua-keduanya ada keistimewaan tersendiri. Perbezaan antara jantina tidak meletakkan mana-mana pihak lebih baik dari yang lain.

Cuba lihat dari sudut begini: wanita wajib taat kepada suami tetapi lelaki pula wajib taat kepada ibunya tiga kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetap harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak wajib menyara suami dan anak-anaknya, manakala lelaki menerima pusaka yang lebih, namun digunakan bagi menanggung perbelanjaan sekeluarga. Begitu juga dengan soal perceraian. Kajian saintifik telah mendedahkan bahawa umumnya wanita lebih beremosi berbanding kaum lelaki. Maka, Allah meletakkan kuasa talak di tangan lelaki, tetapi mengizinkan kaum wanita menuntut fasakh.

Mengapa kita tidak memerhatikan pula kekurangan yang ada pada kaum lelaki? Contohnya, lelaki yang telah berkahwin kena menanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuannya yang belum berkahwin dan dosa anak lelakinya yang belum baligh. Isteri tidak dibebani dengan dosa orang lain. Jika isteri berbuat baik, maka pahala dapat kepadanya dan kalau berbuat tidak baik dosanya ditanggung oleh suaminya!

Selain itu, si suami wajib memberi nafkah pada isteri. Haram bagi suami menggunakan pendapatan isteri tanpa izinnya. Lelaki, terutamanya yang sulung juga perlu menjaga ibubapanya apabila sudah berumur, tetapi tidak bagi wanita. Kalau nak dibayangkan beratnya tanggungan lelaki seperti gunung. Itu sebabnya mengikut kajian umur orang perempuan lebih panjang berbanding lelaki. Lelaki mati cepat kerana terpaksa menanggung beban tanggungjawab yang lebih besar.

Sajak ‘Ramadhan’ September 25, 2007

Posted by abulutfi in Bimbingan.
21 comments

Terima kasih diucapkan kepada sahabat saya yang sudi mengirim sajak ini.

RAMADHAN

 

Ramadhan datang lagi,

Membawa seribu erti,

Menguji jati diri,

Sejauhmana cinta pada Ilahi

Ramadhan datang lagi,

Mengusir segala sunyi sepi diri,

Dinihariku yang malap kini kian berseri,

Dengan tasbih,cselawat dan tahmid suci.

Ramadhan,

Datangmu memang kunanti,

Rinduku padamu sentiasa mekar di taman hati,

Segar mengharum di bingkai rohani,

Menjadi inspirasi pengabdian diri ,

Sepenuh jiwa raga pada raja seluruh alam,

Allah Rabbbul’alamin.

Ramadhan,

Kuharap kali ini kau takkan pergi lagi,

Walaupun kau pasti akan pergi lagi,

Meninggalkan aku, dia dan semua isi bumi,

Dan hanya akan datang menjengah kembali,

Dengan membawa malam seribu erti,

Pada tahun hadapan nanti.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan,

Wa Marhaban Minkum

Kuharap kau tetap hadir dalam sanubariku,

Bagi mentarbiyah nafsu dan mindaku agar sentiasa,

Melaksanakan Sunnatullah,

Menjauhi mungkar dan larangan Allah,

Agar..biar lahirku nanti selepas Ramadhan,

Laksana bayi yang suci bersih,

Tanpa noda dan dosa.

Kiriman Baitie_Nur

Ramadhan tiba lagi… September 7, 2007

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

islam-inside.jpg

Salam,

Alhamdulillah… Pejam celik-pejam celik, tanpa disedari Ramadhan menjelma lagi. Bersamanya seribu satu rahmat bagi semua insan yang mahu mengambil peluang yang hanya dikurniakan sekali setahun. Sempena bulan yang barakah ini, marilah sama-sama kita kembali bermuhasabah dan menjadikan bulan tarbiyah ini sebagai titik kita merubah diri dan masyarakat . Ahlan ya Ramadhan!

Mencintai Rasulullah S.A.W. April 10, 2007

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

Pada bulan ini (Rabiulawwal) kita telah melalui satu hari yang amat bermakna kepada seluruh umat Islam. Namun, tidak ramai yang ambil peduli hari tersebut jika hendak dibandingkan dengan hari Valentine yang diraikan setiap 14 Februari. Tanggal 12 Rabiulawwal, Nabi besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. telah lahir ke dunia untuk menerangi seluruh alam dengan agama Islam. Walaupun setiap tahun perarakan menyambut kelahiran Baginda dilakukan tetapi memadaikah hanya dengan berarak sambil berselawat ke atas Baginda?

Sebenarnya, untuk meraikan tarikh yang bersejarah ini tidak semestinya memerlukan peruntukan yang besar atau perancangan yang panjang. Malah, impak ke atas kualiti umat Islam yang kita perlu dirisaukan. Sejauh manakah umat Islam dapat menghayati perjuangan Baginda? Sedalam manakah cinta umat Islam terhadap Baginda? Dan sehebat manakah kita mengamalkan segala sunnah dan suruhan Baginda? Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu difikirkan bagi memastikan sambutan tidak tinggal sambutan dan akhirnya umat Islam menyambung kelekaan mereka terhadap perjuangan Baginda.

Umat Islam perlu merenung kembali kewajiban sebagai ummat Muhammad s.a.w. supaya di akhirat kelak, kita akan diperakukan sebagai ummat Baginda. Antaranya, kita haruslah mengasihi Baginda lebih daripada diri kita sendiri, anak-isteri dan keluarga. Sabda Nabi s.aw., “Kamu hanya dikira beriman jika kamu mengasihi aku lebih daripada diri sendiri, anak, harta dan manusia amnya.”

Wallahu a’lam.

Perempuan paling ramai masuk neraka? January 1, 2007

Posted by abulutfi in Bimbingan.
20 comments


Salam,

Tertulis dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali,

Telah bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

“Telah aku lihat di dalam neraka pada malam mi’raj, maka aku nampak kebanyakan isinya perempuan.” Maka kataku daripada sahabatnya: “Kerana apa begitu ya Rasulullah?” Maka sabdanya: ” Sebab pun perempuan-perempuan itu banyak mereka itu mengutuk menghamun, sangat pelucah mulutnya tidak mahu sabar atas satu perkara melainkan apabila tak kena apa suatu perkara di dalam hatinya daripada perbuatan siapa-siapa juga, maka lekas ia mengutuk memaki, bukanlah ia diam atau berkata dengan perkataan baik.” Dan satu lagi: “Tidak mengatakan ada apa-apa kebaikan dan kemanfaatan suaminya, iaitu jikalau diberi oleh suami akan isterinya nafkah dan kiswah dan tempat tinggal yang sekadar upayanya, dan bermesra manis tidak sentiasa bengkeng, dan mambaikkan tadbir baginya oleh suaminya, maka semuanya itu dikatakannya tidak ada apa baik suaminya, dan tidak sekali-kali dikenangnya dan syukur ia atas sekalian perkara itu, jauh sekali dipujinya dengan kerana banyak perempuan-perempuan itu demikian banyaklah pula mereka itu masuk neraka.”

pp00951.jpg

Hadith ini menyatakankan bahawa dua sebab utama ramai wanita yang menjadi penghuni neraka adalah kerana:

1. Suka memaki dan melaknat.

2. Mengatakan bahawa tiada apa-apa kebaikan daripada suaminya kepadanya.

Para wanita tidak harus memandang hadith ini sebagai satu perkara yang bias kepada wanita, sebaliknya jika dilihat dari sudut yang lain, ia adalah satu keadilan kepada wanita. Mengapa saya berkata begitu?

Begini… Rasulullah saw telah memberi peringatan awal kepada wanita dengan menggambarkan apa yang bakal terjadi di hari pembalasan. Secara terperinci, baginda telah menyatakan sebab-sebab mengapa begitu ramai wanita dihukum masuk ke neraka. Oleh itu, umur kita yang panjang di dunia ini seharusnya para wanita mengambil peringatan dan kesempatan memelihara diri dari dua sebab yang telah disebutkan tadi. Allah bukan sengaja meletakkan wanita ke dalam neraka, melainkan mereka sendiri yang tidak mengambil endah kepada peringatan Rasulullah ini.

Para wanita telah diberi ‘clue’ awal lagi cara-cara untuk mengelakkan diri daripada terkena hukuman di hari kemudian. Maka, tiada alasan untuk mereka berdolak dalih sedangkan amaran awal telah diberikan untuk mempersiapkan diri. Umpama, seorang bapa yang memberi nasihatkepada anaknya agar tidak melakukan kemungkaran. Nasihat itu tidak diendahkan anaknya. Wajarkah si bapa menghukum anaknya setelah melanggar nasihat? Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Adakah si bapa tidak adil apabila menghukum anaknya? Adakah si bapa boleh dikatakan seorang bapa yang baik dengan menasihatkan anaknya agar menjauhi perkara yang membawa mudharat?

Peringatan Rasulullah saw ini adalah satu titik tolak bagi kaum wanita memperhiaskan diri dengan akhlak mulia, terutamanya terhadap suami. Bahkan, sebenarnya wanita lebih mudah masuk ke syurga jika taat kepada perintah Allah, Rasul dan suami. Mereka tidak dibebankan dengan kewajipan mencari nafkah, memimpin keluarga atau berjihad di medan juang (kecuali dalam situasi tertentu).

Oleh itu para wanita wajar besyukur dengan nasihat yang diberikan Rasulullah ini. Kita hendaklah yakin bahawa Allah itu Maha Adil, tetapi manusia itu yang sering tidak berlaku adil kepada dirinya. Wallahu a’lam.