jump to navigation

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 5 June 23, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah 1

Tajuk: Perjalanannya yang Pertama ke Negeri Syam dan Usaha Mencari Rezeki Halal

Sebagaimana yang diketahui selepas kemangkatan datuk Rasulullah s.a.w., bapa saudara baginda, Abu Talib menjaga baginda. Abu Talib adalah seorang saudagar. Sejak usia Nabi dua belas tahun, Abu Talib telah membawa Nabi bersama untuk membantunya berdagang.

Suatu hari Abu Talib membawa Nabi ke negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai ke Basra, mereka bertemu dengan seorang ahli kitab bernama Buhaira. Apabila Buhaira melihat tingkah laku Nabi yang sopan, beliau bertanya kepada Abu Talib, “Budak ini anak tuan hambakah?” Abu Talib lantas mengaku bapa kepada Nabi kerana beliau sudah menganggap Nabi seperti anaknya sendiri. Sebagai seorang paderi yang tahu kandungan kitab Injil, beliau tahu tanda-tanda seorang Nabi dan tanda itu ada pada diri Nabi.

Buhaira menafikan kenyataan Abu Talib, “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup.” Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa Nabi adalah anak saudaranya dan beliau menjadi penjaganya kerana ibu bapa Nabi telah meninggal dunia sejak baginda masih kecil. Mendengar penjelasan Abu Talib, Buhaira yakin bahawa budak yang berada di hadapannya itu adalah bakal Nabi akhir zaman. Buhaira menasihatkan Abu Talib agar segera menyelesaikan urusannya di situ dan membawa pulang Nabi ke Mekkah. Abu Talib akur dengan nasihat Buhaira kerana Buhaira terkenal sebagai seorang yang alim.

Pada usia remaja Nabi, baginda mula belajar berdikari dengan mengembala kambing bagi membantu meringankan beban bapa saudaranya. Sepanjang pengalaman Nabi mengembala kambing, Allah memelihara baginda daripada pengaruh yang tidak baik. Sebagai seorang remaja, baginda tidak terlepas dari keinginan untuk berhibur.

Suatu ketika, baginda meminta sahabat baginda menggantikan baginda menjaga kambing sementara baginda ke Kota Mekkah untuk melihat pesta keramaian. Namun dengan kuasa Allah, baginda telah terlelap dan tidak dapat melihat majlis tersebut. Hal ini berlaku dua kali.

Pemeliharaan Allah terhadap baginda daripada unsur-unsur hiburan seperti berpesta-pora sebenarnya adalah sebagai persediaan baginda untuk menjadi Nabi pada masa akan datang. Baginda memperolehi kekuatan jiwa kerana tidak terperangkap dalam budaya hedonisma sebagaimana pemuda-pemuda lain di zamannya. Kekuatan inilah yang menjadikan baginda seorang yang dipercayai di kalangan penduduk Mekkah.

Hikmah Allah menetapkan agar Rasulullah s.a.w. berdikari sejak usia remaja lagi agar baginda mempunyai sifat-sifat tabah, amanah dan sabar serta tidak terpengaruh dengan kehidupan duniawi.

Advertisements

Biodata Dr. Said Ramadan al-Buti June 10, 2008

Posted by abulutfi in Tokoh Islam.
8 comments

Said Ramadan dilahirkan pada 1929 di perkampungan JIlka, Turki. Appbila beliau berusia empat tahun, beliau telah berpindah ke Damascus, Syria . Pada tahun 1955, beliau bergraduasi dari Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang keagamaan. Beliau pernah menjadi Dekan di Universiti Damascus pada tahun 1960-an sebelum melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Al-Azhar dalam jurusan undang-undang Islam. Kini, beliau adalah pensyarah di Universiti Damascus dan bergiat aktif di dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa.

Sehingga kini, beliau telah menulis tidak kurang dari 40 buku dalam bidang kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan. Kecerdasan inteleknya terserlah di dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan ‘Royal Society of The Islamic Civilisation Researches’ yang berpusat di Amman, Jordan. Antara buku beliau yang terkenal adalah Fiqh Sirah yang menjadi rujukan di seluruh dunia.