jump to navigation

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 2 October 29, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Tajuk buku: Islam & Dakwah

Bab: Sistem Akhlak dalam Islam

Islam meletakkan akhlak di tempat yang tinggi.  Bukti kepada pengiktirafan kedudukan akhlak dalam agama Islam dapat dilihat atas beberapa sebab:

1.  Matlamat pengutusan Rasulullah S.A.W. adalah untuk memperbaiki akhlak manuisa sebagaimana dalam hadith baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

2.  Dalam hadith lain Nabi S.A.W. telah menyebut bahawa perkara yang paling berat timbangannya di akhirat kelak ialah akhlak yang baik.

3. Islam meletakkan orang yang berakhlak baik sebagai mempunyai darjat keimanan yang tinggi.

4. Orang yang berakhlak lebih dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. di hari akhirat kelak.

5. Nabi S.A.W. sendiri, walaupun telah diketahui umum sebagai insan yang paling tinggi akhlaknya, masih memohon kepada Allah agar diperelokkan akhlaknya.

Akhlak sesama ahli keluarga

Selamat Menyambut Syawal October 19, 2006

Posted by abulutfi in Tinta Editor.
add a comment

Salam,

Di kesempatan ini, saya ing in mengucapkan selamat Hari Raya dan maaf zahir batin. Moga-moga kita meninggalkan madrasah Ramadhan dengan 1001 keinsafan.

Insya Allah, kita bertemu lagi selepas menyambut Hari Raya nanti.

Kuliyyah Muhammad Qutb Siri 2 October 14, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Muhammad Qutb.
add a comment

Tajuk: Salah Faham Terhadap Islam
Bab: Adakah Agama Sudah Lapuk? (Siri 2)
Islam juga membebaskan manusia daripada penghambaan terhadap hawa nafsu. Keinginan nafsu tidak akan kenyang. Semakin ia dilayan, ia akan semakin rakus ibarat mengejar fatamorgana di padang pasir. Akhirnya, manusia itu sendiri akan menurunkan darjatnya ke taraf haiwan kerana tidak menggunakan panduan aqal, tetapi mengikut nafsunya.

Namun, pembebasan daripada keinginan nafsu tidak bermaksud Islam menganjurkan umatnya supaya hidup seperti paderi-paderi yang tidak boleh berkahwin sama sekali kerana ia menyalahi fitrah manusia. Islam cuma tidak menggalakkan umatnya diperhambakan oleh nafsu, tetapi Islam menganjurkan hidup secara sederhana.

Menurut Dr Muhammad Qutb lagi, tujuan Islam diturunkan juga adalah untuk membebaskan manusia daripada kepercayaan-kepercayaan tahyul dalam bentuk kepercayaan kepada tuhan-tuhan palsu, dongeng-dongeng Yahudi dan khurafat puak gereja Kristian. Islam menyuruh penganutnya menggunakan aqal tanpa menimbulkan menimbulkan pertentangan antara aqal dan agama atau antara sains dan agama. Dengan kefahaman tentang tujuan-tujuan ini, jelaslah bahawa Islam diturunkan agar ia kekal relevan merentas zaman.

Berkenaan perkara khurafat, Dr Muhammad Qutb menegaskan bahawa antara khurafat yang paling menyesatkan ialah khurafat berkaitan sains yang menganggap sesuatu yang tidak dapat diukur atau dikaji oleh sains adalah bohong belaka. Sebagai bukti dakwaan beliau, sains masih lagi tidak dapat membuktikan banyak fenomena ganjil, namun diterima oleh manusia seperti wujudnya ‘telepathy’ atau ‘telekinesis’

Justeru, menurut beliau lagi sains sahaja bukanlah pengukur kepada ketamadunan kerana kita dapati hari ini sains telah membawa manusia ke arah kemajuan tetapi jiwa manusia terus tenggelam dalam kenikmatan syahwat. Sebagai contoh, Amerika Syarikat dianggap maju tetapi keadaan sosialnya merudum dengan teruk sekali. Islam meletakkan ukuran kepada ketamadunan ialah apabila manusia berjaya menakluki keinginan nafsunya.

Apakah kita tidak mengkaji sejarah empayar-empayar terdahulu? Faktor kehancuran empayar-empayar besar dahulu adalah kerana mereka tunduk kepada nafsu. Zaman kebelakangan ini juga kita dapati apabila manusia mengambil nafsu mendahului aqalnya, tanah air sendiri tidak mampu dipertahankan. Contohnya Perancis dalam perang dunia kedua telah menyerah kalah dengan relanya di awal peperangan kerana mereka telah tenggelam ke dalam lautan nafsu.

Hakikatnya Islam adalah agama yang praktikal. Ia merangkumi bidang kerohanian, sosio-politik, ekonomi, perundangan dan sains teknologi. Islam mengimbangkan antara keperluan fizikal, aqal, nafsu dan roh, antara keperluan masyarakat dan individu, antara ekonomi dan kemanuisaan. Ia mempunyai peraturan masyarakat dan sistem ekonomi tersendiri yang mengambil jalan tengah antara sistem komunisma (berpusat kepada kepentingan individu) dan sistem kapitalisma (berpusat kepada kepentingan umum) .

Islam juga telah membuktikan bahawa dunia yang penuh dengan perselisihan antara kaum dapat diamankan dengan keadilan Islam. Ini terbukti dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…patuhilah kepada pemerintah kamu walaupun dia seorang hamba Habsyi yang berkepala seperti buah anggur (kerinting) selama ia memerintah menurut kitab Allah.” Islam menyelesaikan perbalahan kaum dengan memberi keutamaan kepada syariat Islam, bukan keutamaan kepada kaum kerabat atau bangsa.

Tazkiran Ramadhan: Perubahan October 11, 2006

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan, Muhammad SAW, para sahabat serta keluarga baginda.

Muslimin & muslimat yang dikasihi,

Apakah faktor yang membuatkan seseorang itu berubah ke arah yang lebih baik? Mampukah perubahan paradigma dilakukan tanpa hidayah Allah.?

Hidayah itu hanyalah milik Allah. Kita tidak dapat mengawalnya. Namun, usaha untuk berubah adalah atas diri kita sendiri. Dalam al-Qur’an, Allah telah menegaskan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan dia mengubah apa yang ada dalam dirinya terlebih dahulu.

Imam al-Ghazali telah mencadangkan agar seseorang yang mahu berubah ke arah kebaikan bermula dengan memaksa diri sendiri. Paksa diri menerima kebaikan dan lama-kelamaan, ia akan menjadi sebati dalam diri. Beliau mengambil contoh amalan berzikir. Untuk membiasakan diri agar sentiasa berzikir nama-nama Allah, paksa diri terlebih dahulu. Tidak mungkin seseorang secara tiba-tiba mempunyai tabiat suka berzikir. Maka, latihan yang berterusan harus dilakukan.

Kaedah yang telah disyorkan beliau sesuai dengan kajian beliau bahawa akhlak adalah sesuatu sifat yang sebati dalam diri. Sifat-sifat ini perlu dipupuk secara serius. Lama-kelamaan ia akan berkembang menjadi akhlak pada diri seseorang. Akhlak yang baik inilah yang membimbing manusia dalam setiap tingkah lakunya.

Perubahan yang sering ‘ditunggu-tunggu’ sesetengah orang, terutamanya dalam bulan Ramadhan ini tidak akan datang dengan sendiri tanpa kemahuan. Apabila manusia mahu, dia akan melakukan. Bak kata bijak pandai, “Jika mahu seribu daya, jika tidak mahu seribu dalih.” Mahu sahaja tidak mencukupi untuk berlaku perubahan. Kita juga perlu tahu bagaimana cara untuk berubah. Jika kita tidak tahu juga, barangkali kita tidak mahu.

Pokoknya, perubahan datang dari diri sendiri. Semasa menjadi ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah dahulu, saya selalu diingatkan “bantu diri untuk bantu orang lain“. Bila besar, saya diingatkan pula, “untuk keadaan berubah, anda mesti berubah terlebih dahulu.”

Bila kita nak berubah? Tepuk dada, tanyalah diri.

Wallahu a’lam.

Kuliyyah Dr.Abdul Karim Zaidan Siri 1 October 8, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Tajuk: Islam dan Dakwah

Bab: Sistem Akhlak dalam Islam

Menurut Dr Abdul Karim Zaidan, akhlak dalam Islam ditakrifkan sebagai nilai-nilai atau sifat-sifat yang telah sebati dalam diri seseorang dan menjadi kayu ukur bagi insan untuk menilai baik-buruknya sesuatu perbuatan.

Akhlak berfungsi sebagai pengatur tingkah laku manusia. Ini berikutan tulisan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin iaitu, “Setiap sifat yang tersemat dalam hati akan tercerna kesannya pada anggota badan dan akan bergerak menurut sifat ini.” Kata-kata Imam al-Ghazali boleh diumpamakan sebagai akar yang subur yang menghasilkan pokok yang rendang dan tegap. Manakala akar yang sakit akan dapat dikesan pada pokok yang kelihatan lesu dengan dedaun yang kekuningan.

Pertimbangan seseorang bergantung kepada sejauhmana manusia merasai kepentingan nilai tersebut. Jika manusia mengambil berat terhadap nilai-nilai yang tersemat dalam hatinya, pertimbangannya juga turut ke arah kebaikan.

Hakikatnya Islam sentiasa ingatkan penganutnya agar menyematkan akhlak-akhlak yang terpuji dalam hati sehingga merasakannya sebati dan dapat mempengaruhi segala tingkah laku manusia.

Kuliyyah Dr.Said Ramadan Al-Buti Siri 1 October 3, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Tajuk: Fiqh Al-Sirah

Bab: Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab Sebagai Tapak Pancaran Islam

Sebelum mencungkil lebih jauh rahsia pemilihan semenanjung Arab, Al-Buti memfokus bab ini kepada bangsa atau tamadun yang wujud di sekitar tanah Arab ketika itu. Empayar Rom dan Parsi adalah dua kuasa besar ketika itu. Manakala Tamadun Greek dan India tidak kurang hebatnya.

Parsi adalah sebuah negara yang menjadi medan pertembungan pelbagai ideologi dan falsafah. Negara yang terdiri daripada penganut agama Majusi ini menggalakkan perkahwinan antara lelaki dengan ibunya, anak perempuannya atau adik-beradik perempuannya. Selain itu, wanita juga dijadikan sebagai hak milik bersama.

Negara Rom pula, walaupun mempunyai angkatan tentera yang hebat dan berjaya menjajah banyak negara jirannya, berada dalam keadaan kucar-kacir. Pembesarnya hidup dalam kemewahan sementara rakyatnya diperas dengan cukai yang sangat tinggi. Ini mengakibatkan keadaan ekonomi Rom merosot.

Negara Greek dan India ketika itu juga telah tenggelam di dalam kepercayaan khurafat serta kemerosotan akhlak yang dahsyat. Segala kekalutan yang menimpa kuasa-kuasa besar tersebut tidak lain kerana kemajuan tamadun yang berasaskan materialisma semata-mata dan mengenepikan peranan akhlak.

Walaupun semenanjung Arab dikelilingi oleh kuasa-kuasa besar yang huru-hara, ia kekal sebagai satu kawasan yang terpencil dari kemewahan dan kemajuan. Kawasan semenanjung Arab boleh disifatkan sebagai ‘bahan mentah’ yang belum pernah dicorak oleh mana-mana acuan. Mereka hidup dalam kejahilan.

Orang Arab ketika itu jahil dan mengamalkan adat yang jelas menunjukkan kejahilan mereka. Contohnya, demi menjaga maruah mereka sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup dan berperang sesama sendiri. Mereka hanya memerlukan suntikan pengetahuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar.

Al-Buti berpendapat, memberi petunjuk kepada orang yang sedang mencari-cari kebenaran lebih mudah kerana mereka tidak berbangga-bangga dengan falsafah dan tamadun yang mereka miliki. Malah mereka tidak pernah mempunyai tamadun!

Keadaan yang telah dijelaskan menghindar syak wasangka manusia terhadap Nabi Muhammad SAW bahawa dakwah yang disampaikan oleh baginda diambil dari tamadun dan kitab-kitab lama. Mana mungkin sedangkan semenanjung Arab ketika itu tiada tamadun dan penduduknya jahil, tidak tahu membaca dan menulis.

Apabila Islam muncul di tengah-tengah kejahilan manusia tersebut, jelas kelihatan mukjizat Nabi dan kehebatan agama Islam yang dibawa baginda. Selain itu, hikmah yang lain adalah kerana di lembah inilah juga terbitnya seruan Islam kali pertama oleh Nabi Ibrahim AS. Maka, amatlah sesuai apabila Nabi yang terakhir juga diutus ke kawasan yang sama.

Kedudukan strategik negara Arab juga memudahkan penyebaran agama Islam. Ini terbukti di zaman Khulafa ar-Rashidin. Akhir sekali, hikmah diturunkan Islam di semenanjung Arab adalah kerana bahasa perantara iaitu bahasa Arab sangat istimewa dan seni berbanding bahasa-bahasa lain.