jump to navigation

Ramadhan Datang Lagi August 1, 2011

Posted by abulutfi in Uncategorized.
1 comment so far

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Berbahagialah mereka yang menunggu-nunggu kehadirannya kerana Allah tidak akan menyiksa hamba-hambaNya yang ditiliknya dengan pandangan rahmat tatkala munculnya Ramadhan.

Ramadhan dan Pencarian Lailatul Qadar August 23, 2010

Posted by abulutfi in Tinta Editor.
add a comment


Bila masuk bulan Ramadhan al-Mubarak, ramailah umat Muhammad (s.a.w.) yang bertungkus-lumus memenuhkan hari dan malamnya dengan amalan sunat. Alhamdulillah. Ramadhan sememangnya bulan yang berkat dan rahmat. Antara kelebihan bulan Ramadhan adalah:

1. Menimbulkan keinsafan dalam diri, terutamanya pada golongan kaya dengan melalui liku-liku hidup seorang yang terpaksa berlapar dan dahaga. Seterusnya keinsafan ini menimbulkan perasaan timbangrasa dan kasih-sayang sesama manusia.
2. Mendekatkan diri hamba kepada Penciptanya (Allah) melalui amalan-amalan sunat dan penghapusan dosa secara besar-besaran oleh Allah s.w.t.
3. Menyihatkan tubuh badan melalui kewajiban berpuasa sepanjang Ramadhan.
4. Dirantai syaitan-syaitan. Maka, lebih mudahlah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
5. Lailatul Qadar dihadirkan pada bulan ini, dimana malam tersebut lebih baik dari 1000 bulan.
Pada bulan inilah juga, insan yang mencari akan ketemui apa yang dicari. Maksud saya erti hidup. Kerana apa? Seperti yang saya katakana terdahulu, kerana bulan ini adalah bulan penuh berkat dan rahmat. Apa maksudnya? Berkat dan rahmat tidak boleh dilihat dengan mata kasar kita. Ia adalah sesuatu yang dapat kita rasa dalam hati. Misalnya, duit sedikit tetapi cukup. Hidup susah tetapi tenang. Apatah lagi dalam bulan di mana Allah s.w.t. lipat gandakan pahala, ganjaran dan rezeki (bukan wang semata-mata); Allah hapuskan sebanyak-banyaknya dosa dan Allah kabulkan doa-doa orang yang berdoa. Berkat dan rahmat akan dirasa oleh orang yang mencari. Malang sungguh mereka yang membiarkan Ramadhan berlalu tanpa terkesan apa-apa.

Tips Lailatul Qadar
Bukan niat saya untuk menggalakkan beramal hanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 sahaja dengan berkongsi tips ini. Namun, oleh kerana mulia dan hebatnya malam Lailatul Qadar ini, saya berharap agar kita sama-sama dapat memperolehinya. Sebenarnya ramai yang mempunyai persepsi, apabila mereka melihat pokok sujud, itulah tandanya mereka ‘dapat’ malam Lailatul Qadar. Kadangkala, apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan keajaiban malam Lailatul Qadar akan dijadikan hujah untuk menyokong pendapat masing-masing. Adakah semudah itu untuk mendapat Lailatul Qadar? Tepuk dada, tanyalah iman! Orang Melayu ni nak ikut jalan ‘short cut’ saja. Cuba-cubalah perbanyakkan amalan dan zikir dahulu. Rezeki tidak datang bergolek.
Walau apapun, saya kongsikan di sini tips bagi yang benar-benar komited untuk mencarinya. Pendapat orang-orang sufi menyatakan bahawa jika awal puasa jatuh pada hari Rabu, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 haribulan (daripada kitab Al-Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub). Tapi awas, 4 golongan di bawah ini tidak akan mendapat keampunan pada malam tersebut sebagaimana orang-orang beriman yang lain:
1. Orang yang kekal minum arak,
2. Orang yang derhaka terhadap kedua ibu bapa,
3. Orang yang memutuskan tali silaturrahim,
4. Orang yang tidak bertegur dengan saudaranya melebihi 3 hari.

Wallahua’lam.

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 8 June 25, 2010

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku: Fiqh Al-Sirah 1

Bab: Berkhulwah di Gua Hira’

Menjelang usia Nabi s.a.w. 40 tahun, beliau amat gemar berkhulwah atau bersendiri untuk mencari ketenangan jiwa di Gua Hira’. Pada kebiasaannya baginda akan berkhulwah selama beberapa hari , malah kadangkala sehingga lebih satu bulan. Amalan Nabi ini berterusan sehinggalah baginda dikurniakan wahyu yang pertama dari Allah s.w.t.

Jalan yang diambil oleh Nabi s.a.w. ini ternyata merupakan kaedah terbaik bagi seseorang untuk menyucikan jiwa dan menjauhkan diri dari kemaksiatan. Selain itu, mengasingkan diri dari kerosakan akhlak masyarakat dan kesibukan kerja dapat memberi peluang kepada diri memuhasabah (hisab diri). Ia juga mamnpu mendekatkan diri kita kepada pencipta.

Menurut Dr. Said Ramadan al-Buti, tidak ada jalan yang lebih baik untuk mencintai Allah s.w.t. melainkan dengan merenung keagungan-Nya dan bertafakur dengan segala nikmat yang dikurniakan-Nya serta memperbanyakkan mengingati-Nya (zikir).

Imam Al-Sathibi di dalam kitab Al-Mumabikhat menulis: “Ketakutan adalah cemeti kepada gembala, harapan adalah parasakti kepada penganjur, kasih sayang adalah arus kepada pelayar. Si penakut ketika melakukan pekerjaan yang berat dan susah, tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan, seterusnya membawa ia bersabar terhadap sebarang dugaan. Manusia yang berharap tidak akan menghiraukan susah-payah. Harapannya itu membawa ia meneroka segala kepahitan dan menanggung segala kepayahan. Si pencinta pula melipat gandakan usaha dan tenaganya serta mengorbankan segala apa yang terdapat demi untuk sampai kepada orang yang dicintainya.”

Pensucian Jiwa Semasa Berwuduk March 8, 2010

Posted by abulutfi in Ibadah.
1 comment so far

Lazimnya semasa kita berwuduk, anggota zahir dipastikan bersih daripada kekotoran dan memenuhi syarat-syarat berwuduk. Namun, Imam al-Ghazali menyatakan bahawa apabila kita berwuduk, bukan sahaja anggota zahir yang dibersihkan, malah jiwa juga berupaya dibersihkan.

Justeru, amalan berikut elok dilakukan agar kita membersihkan anggota secara zahir dan batin semasa berwuduk. Pertama, semasa membersihkan kedua belah tangan, doa berikut dibaca: “Ya Allah, aku memohon padamu kebahagian dan keberkatan , aku berlindung dengan Engkau daripada kecelakaan dan kebinasaan.”

Ketika berkumur, doa berikut pula dibaca: “Ya Allah, tolonglah aku untuk membaca kitab-Mu dan memperbanyakkan zikir kepada-Mu.”

Apabila memasukkan air ke rongga hidung, baca: “Ya Allah, temukanlah untukku bau-bauan syurga-Mu dan aku berlindung dengan Engkau dari bahaya neraka.”

Semasa meratakan air ke seluruh kawasan wuduk muka, doa berikut pula dibaca dengan penuh pengharapan: “Ya Allah, putihkanlah mukaku dengan Nur Engkau dan janganlah Engkau hitamkan mukaku dengan kegelapan.”

Tatkala membasuh tangan sebelah kanan sehingga ke siku, baca: Ya Allah, berikanlah buku catatan amalku pada tangan kananku dan hitungkanlah amalanku dengan hisab yang mudah.” Sebaik-baiknya sampaikan air hingga ke pangkal lengan.

Selepas itu, disusuli dengan tangan kiri lalu membaca doa: “Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada buku catatan amalku diberikan pada tangan kiriku atau dari belakangku.”

Ketika membasuh kepala, doa berikut dibaca: “Ya Allah, dengan rahmat Engkau, turunkanlah kepadaku keberkatan-Mu, naungkanlah aku di bawah naungan Arasy-Mu. Ya Allah, lindungilah rambut dan kulitku dari api neraka.”

Semasa membersihkan telinga, doakan agar: “Ya Allah, jadikanlah aku sebahagian dari mereka yang mendengar perkataan yang baik dan perdengarkanlah kepadaku seruan penyeru syurga bersama-sama orang yang baik.”

Kemudian Imam Al-Ghazali menyarankan agar kita menyapu leher dengan air berpandukan sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, “Menyapu leher adalah menyelamatkan dari belenggu (rantai) api neraka pada hari kiamat.” Doa semasa membasuh leher adalah: “Ya Allah, lepaskanlah leherku dari api neraka dan aku berlindung dengan Engkau daripada rantai dan belenggu api neraka.”

Akhir sekali ketika membasuh kedua-dua kaki, doakan agar: “Ya Allah, tetapkanlah kakiku di atas titian shirath dan aku berlindung dengan Engkau daripada tergelincirnya kakiku dari titian shirath.”

Kelebihan Solat-solat Sunat Siri 1 January 8, 2010

Posted by abulutfi in Ibadah.
add a comment

Solat sunat terbahagi kepada 3:

1. Yang tertakluk dengan waktu

2. Yang tertakluk dengan sebab

3. Tidak tertakluk dengan sesuatu (solat sunat mutlak)

Bahagian 1: Solat sunat yang tertakluk kepada waktu

Bahagian ini terbahagi pula kepada 3:

1. Solat yang berulang kerana berulangnya hari dan malam (Harian)

2. Solat yang berulang kerana berulangnya Jumaat (Mingguan)

3. Solat yang berulang kerana berulang tahun (Tahunan)

Walaubagaimanapun kami hanya akan membicarakan tentang solat sunat Mingguan memandangkan solat sunat harian (rawatib) dan tahunan (hari raya, tarawih dan sebagainya) telah biasa dikemukakan dalam media-media massa.

Terdapat 7 jenis solat sunat mingguan. Huraiannya adalah seperti berikut mengikut kitab Sairus Salikin (juzuk pertama, bab ketiga):

Pertama: Solat sunat hari Ahad

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Dan tauhidkan oleh kamu akan Allah Taala dengan membanyakkan solat pada hari Ahad maka kerana bahawasanya Allah Taala itu Esa tiada bagiNya yang menyekutui akan Dia. Maka barangsiapa solat pada hari Ahad kemudian daripada Zohor empat rakaat yang kemudian daripada fardhunya dan sunatnya pada hal membaca ia pada rakaat pertama akan surah al-Fatihah sekali dan surah as-Sajadah sekali dan pada rakaat yang kedua surah al-Fatihah sekali dan surah Tabarak (al-Mulk) sekali kemudian maka tasyadud ia dan salam ia kemudian maka berdiri ia maka solat ia dua rakaat yang lain pada hal ia membaca di dalamnya itu surah al-Fatihah dan surah al-Jumaah dan surah al-Munafiqun dan meminta ia akan Allah Taala akan hajatnya, nescaya adalah ia hak atas Allah Taala bahawa menunaikan ia akan hajat itu.”


Bersambung dengan solat Sunat hari Isnin.

Kata-kata Hikmah Kalim Siddiqui December 21, 2009

Posted by abulutfi in Tokoh Islam.
add a comment

“Our task is to dream and work for the future — for a time when a new Muslim civilization will emerge — a dynamic, thriving, growing, healthy and happy civilization; a civilization in which man will be at peace with himself, with the physical environment and, above all, with his Creator. In the meantime, we must plan and produce the prerequisites for such a civilization.” – Kalim Siddiqui

50 Tokoh Islam yang Mengubah Dunia September 14, 2009

Posted by abulutfi in Tokoh Islam.
add a comment

DAH TERBIT!!!

50 tokoh islam

Dapatkan di kedai-kedai buku yang menjual buku terbitan PTS Publications. Simpan senaskah untuk anak cucu kita mengenal pejuang-pejuang agama sepanjang abad ke-20.

Ramadhan dan Transformasi Diri September 14, 2009

Posted by abulutfi in Bimbingan.
add a comment

Kita telah masuk ke fasa ke-3 bulan Ramadhan. Pada fasa ini kita tidak lagi sibuk mengadaptasi perut dengan keadaan berpuasa di siang hari dan beribadah di malam hari. Pada fasa ini juga adalah kemuncak transformasi diri. Oleh kerana Allah swt menyembunyikan satu malam yang lebih baik dari 1000 malam pada fasa ke-3 ini, maka umat Islam sepatutnya menjadikan ia titik perubahan dalam diri untuk mengejar keredhaan Allah swt.tasbih

Namun, tidak semua orang yang terpilih untuk mendapat kelebihan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Masjid semakin surut dengan jemaah, malam semakin sibuk dengan persediaan menyambut kedatangan Syawal. Hanya segelintir yang menangisi pemergian bulan Tarbiyyah ini.

Demi merealisasikan transformasi diri ini, ada 2 syarat yang perlu dipenuhi. Pertama, ilmu. Kedua, kesungguhan bermujahadah (melawan nafsu). Tanpa kedua-dua faktor ini, amat sukar untuk seseorang merasai rahmat tuhan yang melimpah ruah di bulan yang mulia ini.

Bagaimana saya katakan bulan Ramadhan ini adalah bulan transformasi diri? Sebagaimana kita tahu, pada bulan ini, syaitan dirantai dan yang tinggal untuk mempengaruhi kita adalah nafsu dalam diri. Maka inilah masa terbaik kita menilai di tahap mana nafsu kita berada, ammarah, lawwamah atau mutmainnah, tanpa faktor ketiga iaitu syaitan.

Apabila kita telah ketahui, hendaklah kita insafi dan muhasabah diri. Timbulkan keinginan untuk kembali kepada sifat hamba yang menjadi fitrah kita. Kemudian, bermujahadah melawan nafsu sehingga mencapai tingkat nafsu mutmainnah yang tenang lagi menenangkan. Allah swt menunggu kita di akhir Ramadhan… di hari kemenangan.

end of tunnel

Tidak Sama Orang yang Berilmu… August 23, 2009

Posted by abulutfi in Bimbingan.
2 comments

“Tidak sama orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu.” Itu adalah kata-kata yang sering diulangi oleh tok guru saya, Ustaz Badrul Munir. Kebenaran kata-kata beliau benar-benar saya terasa sempena bulan Ramadhan tahun ini.

Sepanjang kuliah dari bulan Januari hingga Ogos tahun ini, saya telah didedahkan dengan pelbagai rahsia solat, dari falsafah pergerakan dalam solat, makna hinggalah kepada hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap gerakan solat. Maka, Ramadhan saya pada tahun ini tentulah lebih bermakna berbanding tahun lalu. Alhamdulillah.

pergerakansolat

Maka, saya sarankan kepada mereka yang mahu kepada kemanisan beramal, perdalamkanlah ilmu tentang ibadah yang ingin dilakukan. Pesan Imam Al-Ghazali, “Ilmu tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia.”

Skeptik Agama August 20, 2009

Posted by abulutfi in Islamic knowledge.
3 comments

Biasanya saya tidak suka ‘cut’ dan ‘paste’ ke dalam blog saya tetapi artikel dari web Ustaz Hasrizal ini (saifulislam.com) amat menarik minat saya:

Pemikiran Skeptik Yang Menyakitkan Umat

August 17th, 2009

“Kenapa dia berkata begitu? Dia tak faham al-Quran dan Sunnah ke?” seorang hadirin ceramah mengkritik.

“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.

Semua naik angin.

Marah dengan Habib Bourguiba.

Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987.  Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.

Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.

Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!

SINIS AGAMA

Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism. Pemikiran skeptik atau sinis terhadap agama ini berperingkat.

Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama. Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagian dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.

Ada juga pemikiran skeptik, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.

Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptik terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.

Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah reaksi. Apabila diertikan sebagai reaksi, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut.

YASMIN AHMAD DALAM KENANGAN

yasminahmad

Terkini, ASTRO mendedikasikan saluran 110 sebagai tribute kepada Allahyarham Yasmin Ahmad dengan menyiarkan koleksi filem terbitan atau arahan beliau seperti Sepet dan Gubra.

Jika kita menonton dengan teliti sebarisan filemnya bermula daripada Rabun, kepada Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan terkini Talentime, ada sesuatu yang konsisten di dalam semua sentuhan karya Yasmin Ahmad. Antaranya ialah elemen Religious Skepticism. Penonjolan babak imam yang mesra dengan jiran-jirannya yang pelacur di dalam filem Gubra, hubungan cinta antara seorang gadis Melayu dengan anak muda Cina, malah anjing yang dibelai mesra oleh bilal masjid, semua itu adalah simbol dalam menterjemahkan apa yang dinamakan sebagai pemikiran skeptik terhadap agama.

Oleh kerana Religious Skepticism semakin berleluasa mendominasi pemikiran masyarakat khususnya di dalam kelompok urban, maka hasil karya Yasmin Ahmad semacam menjadi jurucakap untuk meluahkan pandangan ini yang sejak sekian lama tidak mudah untuk diketengahkan ke perhatian massa. Yasmin Ahmad menerima penghormatan dan pengiktirafan yang sungguh luar biasa.

Jika kita bersetuju bahawa Religious Skepticism itu ialah satu bentuk reaksi, maka datang soalan kedua; pemikiran Religious Skepticism yang ada pada Yasmin Ahmad datangnya sebagai reaksi kepada apa? Saya tidak mempunyai sebarang penjelasan kerana saya tidak mengenali beliau secara peribadi.

Namun mungkin beliau menempuh episod hidup yang penuh dengan kejadian, penilaian, hukuman, malah mungkin cemuhan yang menggalakkan skepticism itu semakin meruncing.

SISTERS IN ISLAM

Satu lagi topik yang berkait rapat dengan Religious Skepticism ialah sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Sisters in Islam. Pertubuhan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam memperjuangan beberapa aspek bersangkutan hal kebajikan kaum wanita Muslim dan ia tidak boleh dinafikan. Kelancaran proses mahkamah yang mesti diperkemaskan agar wanita Muslim tidak menderita digantung tidak bertali, adalah di antara subjek yang banyak disentuh oleh sukarelawan SIS yang amat komited.

Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya. Elemen yang saya maksudkan itu ialah Religious Skepticism. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita Muslim di negara kita.

Mendesak agar al-Quran ditafsir semula, bukanlah suatu isu baru. Tetapi mendesaknya dengan alasan ahli-ahli Tafsir dahulu semuanya lelaki, lalu hukum yang keluar bersifat male chauvanist, adalah suatu manifestasi kepada Religious Skepticism. Justeru ramai sukarelawan yang terbabit di dalam gerakan-gerakan pembelaan wanita seperti Sisters in Islam, membawa mesej yang boleh digunapakai untuk memperbaiki banyak aspek perlaksanaan Islam, tetapi mencetus banyak kontroversi kerana ia diperjuangkan secara sinis atau skeptik, sedikit sebanyak berpunca daripada pengalaman diri sukarelawan tersebut berkaitan dengan lelaki.

Menyaksikan bapa mendera ibu yang diperhambakan dalam sebuah perkahwinan.

Melihat penindasan yang berlaku ke atas janda yang tergantung hidup oleh suami yang enggan mentalakkannya, tetapi terus menerus mendera emosi dan mungkin fizikal isteri.

Menjadi mangsa kejahatan lelaki.

Atau terus menerus dihentam golongan yang tidak bersetuju, kebetulannya mereka itu adalah ustaz, mufti, ulama, yang semuanya adalah lelaki.

Religious Skepticism adalah reaksi.

Ada sesuatu yang berlaku sebelum pemikiran skeptik itu menguasai.

Sesuatu yang perlu difikirkan.

BENJAMIN STEPHEN

badrulhisyam

Anak muda ini adalah bekas pelajar sebuah sekolah agama terkemuka di negeri Perak.

Bukan sedikit ilmu agamanya.

Tetapi hari ini, anak Perak yang dahulunya dikenali sebagai Badrul Hisyam, telah murtad dan menjadi pendakyah Kristian.

Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang beliau sampaikan di gereja dan di khalayak Kristian, saya mengesan sesuatu yang amat konsisten di dalam ceramah beliau. Ceramahnya tidak ilmiah dan tidak membantu Kristian memahami Bible. Sebaliknya, hampir keseluruhan ceramah beliau berbahasa skeptik dan sentiasa sinis serta menyindir serba serbi yang berkaitan dengan Islam dan Muslim. Malah ibu bapanya sendiri turut disindir dan diejek.

Tatkala bertanyakan kepada pelajar-pelajar sekolah beliau yang mengenalinya, anak muda ini yang berpewatakan lembut di sekolah sering diejek, dikutuk atau dalam bahasa rasminya dibuli, di sepanjang pengalamannya di sekolah. Pengalaman seperti ini sangat berpotensi untuk membentuk satu pola pemikiran memberontak yang luar biasa.

Akhirnya Badrul Hisyam dengan sinis dan skeptik beliau terhadap semua yang dialaminya tentang Islam dan Muslim, beliau murtad. Sesuatu yang mungkin tidak disangka oleh senior yang pernah membulinya!

Semasa mendengar ceramah beliau, saya terfikir, adakah Benjamin Stephen ini mengkritik Islam, atau mengkritik Sekolah Menengah Agamanya?

KASSIM AHMAD

mencari-jalan-pulang

Tidak dilupakan, tatkala saya membaca buku mutakhir Kassim Ahmad bertajuk MENCARI JALAN PULANG, saya melihat adanya unsur yang sama di sebalik pemikiran beliau. Sama ada ia berkaitan dengan Parti Sosialis pimpinannya, atau pun pemikiran yang dilabel sebagai anti Hadith.

Kassim Ahmad tidak sama sekali menafikan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tetapi beliau mengkritik sistem ilmu Hadith khususnya berkaitan dengan kredibiliti perawinya.

Di manakah kritikan itu bermula?

Berasal daripada kekecewaan Kassim Ahmad terhadap pemikiran dan sikap orang-orang agama yang ditemui di usia mudanya, ia berkembang kepada mempertikaikan institusi Ulama’ dan seterusnya hingga kepada pada perawi yang kesahihan Hadith banyak bergantung kepada kredibiliti perawi-perawi ini.

Ya.

Religious Skepticism yang ringan-ringan boleh berkembang menjadi satu pola pemikiran yang amat rumit dan membingungkan.

PUNCA PEMIKIRAN SKEPTIK TERHADAP AGAMA

Tidak dinafikan, manusia akan membentuk set of values mereka hasil pengalaman hidup dan pendedahan yang dialami. Kesan daripada pelbagai kejadian yang ditempuh oleh setiap kita dalam kehidupan, banyak mempengaruhi pertimbangan kita dalam menilai apa yang baik dan apa yang buruk.

Oleh kerana itu, Islam datang untuk meluruskan nilai ini agar manusia tidak terhoyong hayang di sepanjang tempat dan zaman dalam menentukan apa yang baik serta apa yang buruk tentang hidup ini semata-mata berbekalkan pengalaman diri. Jalan yang lurus (Sirat Mustaqim), diungkapkan berkali-kali dalam sehari semasa kita bersolat kerana jalan yang lurus itulah penentu kepada kedudukan masing-masing. Sejauh mana kita selari dengannya, atau sudah sejauh manakah kita terpesong dari landasan asal.

Namun, manusia akan mengalami krisis terhadap agama apabila mereka berdepan dengan suasana realiti yang terlalu jauh daripada apa yang dilakarkan oleh idea dan nas. Penghormatan adalah sesuatu yang terhasil daripada kualiti. Tatkala pendukung agama yang mewakili suara agama mengalami kemerosotan kualiti, rasa hormat itu mula terhakis. Tatkala hakisan itu berlaku, agamawan dan institusi agama terus kekal dengan grandiose attitude yang menambahkan rasa meluat serta benci kelompok yang tidak gentar dengan mereka.

Sebagaimana gereja hilang tempat daripada masyarakat akibat grandiose attitude itu, ia juga sedikit demi sedikit menimpa umat Islam. Rasa jelek dan meluat sekelompok masyarakat melihat sesetengah agamawan yang sombong dalam mempertahankan hujah-hujah ‘tidak masuk akal’ mereka, menambahkan kerumitan kepada berleluasanya pemikiran skeptik terhadap agama ini.

Misalnya, temuramah Gala TV di Astro 110 bersama Yasmin Ahmad, mendatangkan contoh yang boleh diberi perhatian.

Ketika filem Gubra dikritik kerana adegan bilal masjid menyentuh anjing, Yasmin Ahmad menegaskan bahawa sesuatu yang amat menghairankan apabila orang-orang agama ini yang kelihatannya berpelajaran tinggi di satu sudut, hakikatnya mereka tidak arif tentang ilmu Biologi (yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam atas galakan agama kita sendiri, kata beliau).

“Anjing itu kalau najis pun, menyentuhnya tidak haram!” kata Yasmin.

“Orang agama tidak faham Biologi. Jika mereka faham Biologi, mereka akan tahu bahawa anjing merembeskan peluhnya melalui lidah dan hidung…” tegas beliau lagi.

Saya tidak dapat mengesan apakah yang cuba dimaksudkan oleh Yasmin dengan kenyataan itu.

Tetapi beliau mungkin terkesan dengan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas dirinya oleh ustaz-ustaz atau tokoh agama yang ‘tidak faham Biologi’. Sifat menghukum, dan kejahilan terhadap ilmu sokongan seperti Biologi, menjadikan manusia semakin skeptik terhadap agama. Suatu kemalangan.

Namun, andaikata Yasmin Ahmad mengkaji lagi, beliau mungkin akan memperbaiki pandangannya tentang hal ini. Soal anjing merembeskan peluh daripada lidah itulah sebenarnya asas hukuman samak jilatan anjing yang terdapat di dalam Mazhab Syafie. Oleh kerana anjing sentiasa merembeskan peluh dari lidah, maka kebarangkalian najis untuk berada di lidahnya amat kecil. Justeru, jika lidah yang ‘bersih’ itu pun bekas jilatannya perlu disamak, maka lebih utamalah untuk sentuhan bahagian-bahagian lain pada seekor anjing disamak. Malah, anjing yang tidak disebut sebagai najis di dalam al-Quran itu pun, persentuhannya perlu disamak, maka babi yang diisytiharkan najis oleh al-Quran itu, lebih utamalah untuk ia disamak.

Dalam kes ini, Religious Skepticism mungkin terhasil daripada kombinasi agamawan yang tidak faham Biologi dan pengarah filem yang tidak habis mengkaji agama.

Pandangan skeptik terhadap agama banyak didorong oleh kegagalan agamawan mempertahankan hujah agama dalam bentuk yang seiring dengan pemikiran massa yang berubah dari satu ketika ke satu ketika. Hujah yang tidak berhasil menimbulkan keyakinan, atau menolak terus proses hujah menghujah dan menggunakan kuasa untuk menundukkan soalan atau kritikan (budaya membunuh soalan), menyuburkan lagi pemikiran skeptik orang ramai terhadap agama. Gereja sudah berpengalaman dalam krisis ini, mudah-mudahan kita Umat Islam mempelajari sesuatu mengenainya.

Apatah lagi, ada agamawan terbabit dalam salah laku yang bertentangan dengan imej yang sepatutnya dipertahankan. Perbuatan mendera isteri oleh ustaz atau oleh bukan ustaz tetapi atas nama agama, memutarbelikan hujah untuk memenangkan diri (misalnya berkata, Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami, tetapi tiada hadith yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri!), pecah amanah, pengotor pada pakaian dan penampilan diri, menerukkan lagi penyebaran gejala Religious Skepticism ini.

Dalam masa yang sama, pendekatan menghukum dan menghukum terus menerus digunakan semasa kredibiliti agamawan atau institusi agamawan berada di dalam krisis.

Sesungguhnya gejala ini boleh diperbaiki jika pendakwah dan agamawan mampu untuk mengusahakan beberapa perubahan. Sikap menyindir, menghukum, menyerang, tanpa kesimbangan dialog, diskusi dan lain-lain bentuk engagement, tidak banyak membantu.

PENDAKWAH MAMPU MENGUSAHAKAN PERUBAHAN

Jika perubahan itu mesti bermula daripada diri, maka usahakanlah perubahan pada diri kita, selaku pendakwah untuk lebih bertenang dan teliti dalam menghalusi dakyah-dakyah pemikiran skeptik terhadap agama ini. Andai mereka tidak mahu berubah, lancang mengkritik tetapi kurang mahu mengkaji dan mendalami secara adil, itu terserah kepada mereka. Religious Skepticism ialah penyakit. Lalu penganutnya harus dilihat sebagai orang sakit.

Bagi pendakwah yang yakin akan kesihatan pemikiran dan kepercayaannya, merekalah yang selayaknya untuk mengusahakan perubahan. Kita ubah cara kita memberikan penyelesaian, cara kita menguruskan cabaran, kerana kita mampu berbuat demikian. Jangan terlalu gelojoh menyerang, menentang, menghukum, ketika kita sendiri bukanlah saingan yang dihormati lawan (jika boleh disebut demikian).

Pendakwah yang hebat mampu mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Andai golongan yang skeptik terhadap agama mahu terus ego dalam mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Namun Islam yang dijulang pendakwah, menjadikan kita bersedia untuk mengambil sebahagian tanggungjawab memperbaiki keadaan. Memperbaiki cara kita berdakwah, mempunyai banyak faedah yang boleh meredakan penyakit minda ini.

SISI LAIN PANDANGAN HABIB BOURGUIBA

Berbalik kepada persoalan Habib Bourguiba, harus kita perhatikan sedikit.

Memang al-Quran berkata sebaliknya, Sunnah juga menegaskan sebaliknya. Malah Sejarah juga membuktikan sebaliknya. Namun Habib Bourguiba mungkin tidak memandang itu semua. Apa yang dijadikan asas pandangannya ialah pada apa yang ada di depan mata.

Benarkah umat Islam lebih produktif di bulan Ramadhan?

Tinggalkan Tunisia dan mari lihat keadaan kita di Malaysia.

Pada bulan Ramadhan, kita tidak boleh bermesyuarat dengan baik. Semua orang kebingungan dan lesu tanpa mampu memberikan idea yang bernas. Jika ada projek besar yang mahu dibuat, semua meminta agar ia dibincangkan selepas Raya! Malah jika di bulan-bulan lain kita habis kerja jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan!

Maka, tidakkah itu semua bukti bahawa kita tidak produktif di bulan Ramadhan?

Silapnya pada Habib Bourghuiba ialah kerana beliau menyalahkan puasa sebagai puncanya, dan bukan manusia.

PELIK

Jika anda ternampak sebuah kereta Mercedez ‘mata belalang’ tersadai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan Mercedez?

“Bodoh betullah syarikat Mercedez ini. Bagaimana mereka boleh buat kereta yang langgar tiang lampu!” kritik seorang yang bermazhab Habib Bourguiba.

Mustahil.

Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez.

Semua orang akan menyalahkan pemandu Mercedez itu.

“Macam manalah dia memandu. Sudah diberi Mercedez pun, masih terbabas melanggar tiang lampu!” kata-kata yang lebih lurus dengan kebenaran.

Silapnya Habib Bourguiba ialah, dia itu menyalahkan puasa dan Ramadhan sebagai punca rakyatnya tidak produktif. Suatu peringkat Religious Skepticism yang kritikal.

Justeru, jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, maka buktikanlah dengan perbuatan. Buktikan Ramadhan ini, anda produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk buat apa sahaja, termasuk mungkin turun berkempen di Permatang Pasir!

Tetapi, jika kita bermati-matian memaki hamun Habib Bourguiba kerana tidak bersetuju dengannya, tetapi kita tidak bermaya, tidak produktif atau gagal untuk kekal normal di bulan Ramadhan, maka segala ayat al-Quran dan al-Hadith yang digunakan, serta fakta Sejarah yang dibentang, menjadi retorik serta menyuburkan lagi Religious Skepticism!

Anda mampu mengubahnya!

ABU SAIF @ http://www.saifulislam. com
68000 AMPANG

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.