jump to navigation

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 7 August 6, 2009

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Ciri Khusus Sistem Sosial dalam Islam

Ciri-ciri utama sistem sosial Islam adalah seperti berikut:

1. Mengutamakan Akhlakmuslimat doa

Sisem sosial Islam mengutamakan akhlak dan menghindarkan masyarakat dari perkara-perkara yang merosakkan. Contoh perkara yang merosakkan masyarakat adalah minum arak, perzinaan, judi dan fitnah-memfitnah.

Islam bukan sahaja merawat masyarakat dari gejala yang tidak sihat tersebut, malah telah menyediakan kaedah-kaedah pencegahan. Ini terbukti berupaya memelihara masyarakat daripada kemungkaran dan maksiat serta menutup rapat pintu untuk syaitan memainkan peranannya.

Islam memastikan sistem ini terpelihara dengan adanya peraturan, hukuman dan sifat kasih-sayang dalam masyarakat. Dalam sebuah hadith Nabi, baginda menjelaskan bahawa Allah tidak mengasihi orang yang tidak mengasihi orang lain.

Akhir sekali, Islam juga menuntut manusia supaya bantu-membantu dalam hal kebaikan dan mencegah kezaliman serta penindasan. Allah swt berfirman dalam surah Al-Maidah, ayat ke-2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu untumembuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

2. Berpegang kepada Konsep Keadilanneraca islam

Islam adalah agama yang adil dan menekankan tentang keadilan. Dalam al-Quran terdapat terlalu banyak ayat-ayat tentang keadilan. Misalnya dalam ayat ke-135 surah An-Nisa’, Allah swt berfirman “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakan keadilan.”

Masyarakat yang berada dalam sistem Islam akan merasai keadilan kerana hak-hak mereka terjamin melalui hukum-hukum yang menyebelahi kebenaran walaupun mereka bukan daripada golongan yang berpengaruh dan berkuasa. Hal ini diungkapkan dalam sebuah hadith Nabi Muhammad saw yang berbunyi: “Wahai manusia! Sesungguhnya umat sebelum kamu menjadi sesat kerana apabila yang mencuri daripada golongan atasan, mereka akan melepaskannya dan apabila yang mencuri daripada golongan bawahan, mereka akan menghukumnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya Muhammad akan potong tangannya.”

Islam meletakkan kezaliman sebagai punca kehancuran sesuatu masyarakat. Sejarah telah membuktka bahawa sebuah negara Islam yang berlaku kezaliman akan musnah , sebaliknya sebuah negara kafir yang adil akan kekal.

3. Melindungi Institusi Keluarga (bersambung…)

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 6 February 28, 2009

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
1 comment so far

Buku: Islam & Dakwah

Bab: Sistem Sosial Islam

cth-muslimat

Kesan Akidah Islam sebagai Asas Sistem Sosial

1. Orang yang menerima akidah Islam sebagai asas kepada sistem sosial akan menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Ini dinyatakan dalam surah Al-Hujurat, ayat ke-10. Menurut Dr. Abdul Karim, saudara seakidah ini mempunyai ikatan yang kuat, merentasi faktor geografi.

Namun, ini tidak bermakna orang bukan Islam disisihkan. Malah, mereka yang menerima asas ini akan dijamin keselamatannya dan tidak boleh dizalimi sesuka hati. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, sesiapa yang menzalimi orang kafir yang telah membuat perjanjian (mu’ahid) dengan orang Islam atau mengambil hak mereka secara tidak adil, maka baginda bersaksi sebagai musuhnya di akhirat kelak.

2. Ia juga berupaya mengikis ketaksuban perkauman iaitu saling membantu semata-mata kerana mereka daripada satu bangsa walaupun bantuan tersebut untuk tujuan yang salah. Ketaksuban terhadap kaum atau bangsa ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabdanya yang bermaksud bukan daripada kalangan orang Mukmin mereka yang mengajak, berjuang dan mati kerana asabiyah (perkauman).

3. Apabila fahaman asabiyah ini telah terhakis, maka manusia akan beralih kepada ukuran ketaqwaan. Ini disebabkan tidak ada lagi kemuliaan yang disandarkan kepada kemuliaan keturunan atau kebangsan.

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 5 July 28, 2008

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Buku: Islam & Dakwah

Bab: Sistem Sosial Dalam Islam

Asas Sistem Sosial Islam

Ibnu Khaldun di dalam buku al-Muqaddimah menyatakan hakikat bahawa kehidupan bermasyarakat adalah salah satu keperluan asas manusia. Oleh kerana kewujudan masyarakat adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, maka sistem kemasyarakatan juga menjadi satu keperluan. Sistem bermasyarakat adalah penting kerana tanpanya ketidakstabilan boleh berlaku akibat kebebasan yang tiada batasan.

Islam sebagai agama yang unggul dan syumul telah menyediakan sistem bagi menjamin keamanan di dalam masyarakat. Asas kepada sistem kemasyarakatan dalam Islam adalah aqidah Islam. Akidah memandu manusia dengan memberi kesedaran di mana kedudukannya di dunia ini, hubungan hidupnya dengan alam dan matlamat ia dijadikan Allah s.w.t.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, akidah inilah yang memimpin fikiran dan tingkah laku manusia. Dengan berpegang kepada aqidah Islam sebagai asas dalam sistem masyarakat bermakna manusia akan memikul tanggungjawab menjamin kestabilan masyarakat tanpa mengira bangsa, bahasa, keturunan mahupun pangkat. Berbeza daripada sistem kemasyarakatan Rom, Yunani, Parsi atau Atab yang meletakkan asas bangsa, puak atau keturunan sebagai asasnya. Asas selain aidah Islam mendorong berlakunya kezaliman, dan penindasan sesama manusia.

Asas sistem kemasyarakatan yang berlandaskan kebangsaan atau nasionalisma tidak sesuai kerana konsep tersebut amat sempit dan tidak mampu dimiliki oleh semua manusia. Allah s.w.t. telah menjadikan manusia ini berbangsa-bangsa, namun Islam sebagai agama mampu dianuti oleh sesiapa sahaja. Oleh kerana tiada paksaan beragama dalam Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al Baqarah ayat 256, orang bukan Islam juga mampu menjadi sebahagian daripada masyarakat ini dengan syarat mereka mengisytiharkan kesetiaan serta tunduk kepada sistem ini.

Melalui perjanjian kesetiaan ini, orang bukan Islam juga berhak menikmati kesejahteraan hidup dalam masyarakat ini di samping nyawa, harta dan maruahnya terpelihara. Ahli perundangan Islam mengiktiraf kaedah “hak mereka adalah seperti hak kita, tanggungjawab mereka adalah seperti tanggungjawab kita.” Sejarah telah membuktikan bahawa orang bukan Islam dapat hidup dengan aman di bawah sistem sosial Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. tanpa penindasan.

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 4 December 28, 2007

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Buku: Islam & Dakwah

Bab: Sistem Akhlak Islam

Hubungan Akhlak dengan Iman

Akhlak yang buruk dan iman tidak boleh hidup bersama. Ini kerana iman akan mengalakkan akhlak yang baik. Orang yang benar-benar beriman tidak akan melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan tatasusila kerana sistem akhlak dalam Islam tertegakkan melalui balasan sama ada hukuman atau ganjaran. Hukuman atau ganjaran boleh dikenakan di dunia atau di akhirat. Keyakinan terhadap sistem balasan ini banyak bergantung kepada iman seseorang.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, pada asasnya akhlak seseorang boleh dibentuk dan diubah. Allah s.w.t. telah memerintahkan manusia agar menjauhi akhlak yang buruk dan berusaha memiliki akhlak yang baik. Perintah Allah ini membuktikan bahawa manusia mampu memilih sama ada untuk berakhlak baik atau buruk. Hal ini bertepatan pula dengan kaedah fiqh iaitu taklif hanya menurut kemampuan dan tidak ditaklifkan suatu yang mustahil.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah As-Shams yang bermaksud, “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa (jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang membersihkan jiwa. Dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorkannya.” Walaubagaimanapun, kemampuan manusia untuk mengubah akhlak mereka adalah berbeza-beza. Sesetengah manusia telah dikurniakan oleh-Nya dengan sifat-sifat yang terpuji secara semulajadi. Sifat-sifat ini membantunya memilih jalan yang lurus.

Akhlak boleh dibentuk melalui beberapa kaedah. Pertama, tidak menurut perasaan marah. Secara tidak langsung, ia mengelakan kesan-kesan negatif akibat sifat marah. Namun, kita tidak berupaya membuang sifat tersebut kerana sifat ammarah adalah sifat semulajadi manusia. Kita hanya boleh mengawal dan menyalurkan sifat itu ke arah yang sewajarnya. Nabi s.a.w. bersabda, “Orang yang kuat bukan diukur dengan beradu tenaga tetapi orang yang kuat ialah orang yang mengawal dirinya ketika marah.”

Kaedah kedua ialah mendidik jiwa dengan membuang sifat-sifat yang keji dan menggantikannya dengan sifat terpuji. Cara mendidik jiwa agar membuat amalan-amalan kebaikan dapat dilakukan apabila manusia memahami agama Islam sebagaimana sabda Nabi s.a.w. , “Manusia ini umpama logam, yang terbaik di kalangan mereka di zaman jahiliyyah adalah juga yang terbaik di zaman Islam apabila mereka memahami (agama ini).”

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 3 February 14, 2007

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Buku: Islam dan Dakwah

Bab: Sistem Akhlak dalam Islam

Kesyumulan Akhlak Islam

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan lagi, satu ciri yang khusus dalam sistem akhlak Islam ialah kesyumulannya atau ruang lingkup yang dirangkuminya secara menyeluruh. Berbeza dengan pegangan sistem yang ada pada hari ini, akhlak dikesampingkan. Contohnya, dalam hal hubungan antarabangsa. Oleh kerana hubungan yang dijalin tidak berlandaskan prinsip akhlak, amalan pengkhianatan sering berlaku, malah telah dianggap sebagai satu seni dalam berpolitik.

Islam dari awal lagi meletakkan nilai akhlak sebagai suatu dasar negara. Ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. dalam ayat ke-58 surah Al-Anfaal yang bermaksud jika timbul pengkhianatan dalam perjanjian, maka hendaklah dinyatakan kepada mereka dengan jelas, walaupun ia dilakukan oleh orang bukan Islam mahupun orang Islam sendiri. Pernah berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah antara Nabi s.a.w. dan pihak musyrikin, seorang Quraisy yang bernama Abu Jandal memeluk Islam lalu meminta supaya Nabi s.a.w. melindunginya.

Oleh kerana perjanjian yang termeterai tidak membenarkan orang Quraisy yang memeluk Islam dilindungi dan hendaklah dikembalikan ke Mekkah, maka Nabi dengan tegas mematuhi perjanjian tersebut. Baginda bersabda, “Kita telah memeterai perjanjian dengan mereka (musyrikin Mekkah). Kita mematuhi perjanjian ini dan mereka juga mematuhinya. Kita tidak akan mengkhianati mereka.”

Sistem akhlak Islam juga berpegang kepada nilai akhlak pada matlamat dan cara. Tiada ruang dalam sistem akhlak Islam untuk “matlamat menghalalkan cara.” Walaupun umat Islam diwajibkan membantu saudara seagama yang dizalimi, namun jika pertolongan tersebut melanggar perjanjian yang termeterai dengan orang yang menzalimi, ia tidak dibolehkan. Hal ini ditegaskan dalam ayat ke-72 surah Al-Anfaal yang bermaksud, “Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

Kuliyyah Dr. Abdul Karim Zaidan Siri 2 October 29, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Tajuk buku: Islam & Dakwah

Bab: Sistem Akhlak dalam Islam

Islam meletakkan akhlak di tempat yang tinggi.  Bukti kepada pengiktirafan kedudukan akhlak dalam agama Islam dapat dilihat atas beberapa sebab:

1.  Matlamat pengutusan Rasulullah S.A.W. adalah untuk memperbaiki akhlak manuisa sebagaimana dalam hadith baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

2.  Dalam hadith lain Nabi S.A.W. telah menyebut bahawa perkara yang paling berat timbangannya di akhirat kelak ialah akhlak yang baik.

3. Islam meletakkan orang yang berakhlak baik sebagai mempunyai darjat keimanan yang tinggi.

4. Orang yang berakhlak lebih dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. di hari akhirat kelak.

5. Nabi S.A.W. sendiri, walaupun telah diketahui umum sebagai insan yang paling tinggi akhlaknya, masih memohon kepada Allah agar diperelokkan akhlaknya.

Akhlak sesama ahli keluarga

Kuliyyah Dr.Abdul Karim Zaidan Siri 1 October 8, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Abdul Karim Zaidan.
add a comment

Tajuk: Islam dan Dakwah

Bab: Sistem Akhlak dalam Islam

Menurut Dr Abdul Karim Zaidan, akhlak dalam Islam ditakrifkan sebagai nilai-nilai atau sifat-sifat yang telah sebati dalam diri seseorang dan menjadi kayu ukur bagi insan untuk menilai baik-buruknya sesuatu perbuatan.

Akhlak berfungsi sebagai pengatur tingkah laku manusia. Ini berikutan tulisan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin iaitu, “Setiap sifat yang tersemat dalam hati akan tercerna kesannya pada anggota badan dan akan bergerak menurut sifat ini.” Kata-kata Imam al-Ghazali boleh diumpamakan sebagai akar yang subur yang menghasilkan pokok yang rendang dan tegap. Manakala akar yang sakit akan dapat dikesan pada pokok yang kelihatan lesu dengan dedaun yang kekuningan.

Pertimbangan seseorang bergantung kepada sejauhmana manusia merasai kepentingan nilai tersebut. Jika manusia mengambil berat terhadap nilai-nilai yang tersemat dalam hatinya, pertimbangannya juga turut ke arah kebaikan.

Hakikatnya Islam sentiasa ingatkan penganutnya agar menyematkan akhlak-akhlak yang terpuji dalam hati sehingga merasakannya sebati dan dapat mempengaruhi segala tingkah laku manusia.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.