Kuliyyah Muhammad Qutb Siri 5 April 10, 2008
Posted by abulutfi in Kuliyyah Muhammad Qutb.1 comment so far
Bab: Islam dan Perhambaan (sambungan) 
Mungkin kita tertanya-tanya mengapa Islam tidak dengan tegas menghapuskan dasar-dasar perhambaan? Persoalan ini dijawab oleh Dr. Muhammad Qutb berdasarkan faktor-faktor berikut:
Pertama: Perhambaan telah menjadi satu sistem sosial dan ekonomi yang lumrah ketika Islam muncul di bumi Arab. Langkah penghapusan sistem tersebut perlu dilakukan secara beransur-ansur. Ia tidak wajar dilakukan dalam sekelip mata malah memerlukan tempoh yang lama. Penghapusan amalan perhambaan hampir sama dengan kaedah penghapusan arak, cuma amalan perhambaan lebih lama bertunjang dalam hidup masyarakat ketika itu.
Kedua: Islam hanya menggariskan peraturan-peraturan berkaitan masalah dasar. Bagi masalah-masalah yang tidak dasar dan sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa, Islam menetapkan garis umum agar manusia dapat mengadaptasi mengikut kesesuaian ketetapan tersebut. Samalah juga dengan masalah perhambaan. Islam meletakkan garis umum agar lambat-laun manusia akan menghapuskan sistem tersebut secara sukarela.
Ketiga: Agama Islam diturunkan bukan untuk mengubah tabiat manusia yang telah sekian lama bertunjang dalam diri. Sebaliknya ia diturunkan untuk mendidik manusia dalam batas-batas fitrah manusia. Justeru, agama ini mampu memajukan manusia tanpa sebarang paksaan yang boleh mengundang pemberontakan jiwa.
Sejarah Amerika Syarikat dalam usaha pembebasan hamba abdi memperlihatkan akta yang membebaskan hamba abdi di sana tidak mampu untuk hidup sebagai seorang yang merdeka. Pengisytiharan pembebasan oleh Presiden Abraham Lincoln tidak menyelesaikan masalah kerana hamba-hamba yang telah dibebaskan kembali kepada tuan mereka. Ini kerana walaupun jasad mereka bebas tetapi jiwa mereka masih jiwa hamba.
Janji Tuhan Pasti Berlaku April 8, 2008
Posted by abulutfi in Tinta Editor.add a comment
Lagu ni memberi saya semangat untuk terus mengharap janji Tuhan…
(Lirik dan lagu dari kumpulan Shoutul AMal).
Oh alangkah indah hidup ini
Bila Islam bersinar kembali
Cahaya iman menyuluh tiap sanubari
Kebenaran mewarnai bumi
Kalam Allah memimpin manusia
Sunnah Rasul memandu langkahnya
Isi alam mendapat rahmat dan berkatnya
Kebatilan tiada tempatnya
Telah lama dinantikan
Bara Islam marak semula
Manusia kegelapan
Merindukan cahaya pembela
Pasti datang saat itu
Janji Tuhan pasti berlaku
Di dunia bahagia
Syurga Tuhan kekal selamanya
Pada Tuhan
Doa dan harapan
Daulah Islam seluruh dunia
Selamatkan kami umat di akhir zaman
Dengan iman yang terpelihara
Kuliyyah Ramadhan Al-Buti Siri 4 April 3, 2008
Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.add a comment
Buku: Fiqh Al-Sirah 1
Tajuk: Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.
Nabi Muhammad S.A.W. lahir pada 12 Rabiul Awal pada Tahun Gajah. Pada Tahun Gajah tersebut telah berlaku satu peristiwa yang tercatat dalam Al-Quran iaitu bala tentera Abrahah Al Asyram yang cuba memusnahkan Ka’bah di Kota Makkah. Namun, percubaan Abrahah menemui kegagalan apabila Allah mengutus burung-burung Ababil untuk memusnahkan tentera bergajah Abrahah.
Allah telah mentakdirkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan sebagai anak yatim. Ayah baginda telah kembali ke rahmatuLlah ketika baginda masih di dalam kandungan ibunya. Halimah binti Abi Zuwaib, seorang perempuan dari Bani Sa’d Bakr telah menjadi ibu susuan Nabi.
Menurut ahli sirah, sebelum ketibaan Nabi ke perkampungan Bani Sa’d, kampung tersebut sedang mengalami kemarau yang dahsyat. Namun, sebaik sahaja Nabi sampai ke rumah Halimah di kampung tersebut, kemarau yang selama ini membuatkan tanaman kering kontang berubah wajah. Pohon-pohon kembali menghijau dan uncang-uncang haiwan ternakan telah penuh dengan susu.
Ketika baginda bersama Bani Sa’d inilah perutnya telah dibedah oleh malaikat Jibril. Ibu baginda pula telah wafat ketika baginda berusia enam tahun. Oleh itu, datuk baginda iaitu Abdul Mutallib telah memelihara baginda. Hayat Abdul Mutallib tidak lama apabila tidak berapa lama selepas itu beliau pula meninggal dunia. Bapa saudara Nabi, Abu Talib mengambil alih peranan Abdul Mutallib sebagai penjaga Nabi.
Keadaan hidup Nabi yang yatim piatu adalah satu hikmah yang tidak kelihatan sehinggalah baginda dilantik menjadi Rasul. Ia disusun sedemikian rupa agar tiada sesiapa boleh menaruh sangkaan buruk terhadap dakwah Nabi. Jika ibu bapa dan datuk baginda masih hidup dan membesarkan Nabi sendiri, tentulah masyarakat Jahiliyyah akan menuduh dakwah baginda telah dipengaruhi oleh keluarga baginda yang mempunyai kedudukan tinggi di Makkah.
Bapa saudara baginda, Abu Talib pula tidak pernah memeluk Islam sehinggalah beliau meninggal dunia. Susur-galur kehidupan baginda yang agak terasing dari keluarga Abdul Mutallib juga tidak memungkinkan baginda terpengaruh dengan sifat cintakan harta dan pangkat.
Selain itu, tanda-tanda kerasulan Muhammad S.A.W. ternyata apabila baginda berada di perkampungan Al Sa’diyyah. Suasana kemarau bertukar menjadi ladang-ladang yang hijau. Ini selari dengan firman Allah yang bermaksud “Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk alam sejagat” (Al-Anbiya’:21)
Perut Nabi yang dibedah oleh malaikat Jibril juga merupakan tanda-tanda kerasulan baginda yang nyata. Mengapa Allah mempertontonkan peristiwa ini kepada kanak-kanak lain yang sedang bermain-main dengan baginda ketika itu? Ini adalah pengisytiharan secara terang-terangan oleh Allah berkenaan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan sebagai persediaan baginda untuk menerima wahyu kelak.
