jump to navigation

Kuliyyah Ramadan Al-Buti Siri 2 December 4, 2006

Posted by abulutfi in Kuliyyah Ramadan Al-Buti.
add a comment

Buku:Fiqh As-Sirah 1

Bab: Saki Baki Agama Hanif dalam JahiliyahArab

Orang Arab mewarisi agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Agama yang membawa ajaran tauhid dan perintah-perintah ibadah, memelihara dan mempertahankan Baitul-Haram serta menghormati segala syiarnya. Namun, setelah kurun demi kurun berlalu, masyarakat Arab mula mencampur-adukkan yang benar dengan yang batil. Ajaran agama ditokok-tambah dengan syirik dan kejahilan. Keruntuhan akhlak sudah menjadi kebiasaan. Akhirnya, oleh kerana lamanya jangka masa sejak agama Hanif ini diturunkan kepada orang Arab, mereka semakin jauh dari cahaya iman dan menebal dengan penyembahan berhala-berhala. Di waktu inilah masyarakat Arab berhadapan dengan seruan Nabi Muhammad saw.

Diketahui daripada hadith bahawa ‘Amru Bin Luhay Bin Qam’ah adalah orang yang mula-mula mensyirikkan Allah. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Saya lihat ‘Amru Bin Luhay Bin Qam’ah Bin Khandaf menarik berhala kayunya ke dalam neraka…. sesungguhnya dialah orang yang mula mengubah agama Ismail dengan memasang berhala, mencipta Bahira, Saibah, Wasilah dan Hami.”

D aripada penyelewengan ini, berkembanglah penyembahan berhala di kalangan bangsa Arab. Aqidah tauhid yang diwarisi dari Nabi Ibrahim as dan Ismail as telah bertukar rupa hingga ke peringkat kesesatan yang hebat. Punca utama berlakunya penyelewengan agama tauhid ini adalah kerana mereka buta huruf dan jahil.

Namun, saki-baki syiar agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan anaknya masih kekal walaupun dijelmakan dalam bentuk yang jahat. Misalnya amalan tawaf mengelilingi Ka’abah, menunaikan haji dan umrah serta wukuf di padang ‘Arafah masih dikekalkan tetapi bacaan-bacaan semasa melakukan amalan tersebut ditokok tambah dengan mempersekutukan Allah.